Bank Islam.
Bank Islam.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) membuka 10 cawangan pada dua Sabtu berturut-turut dalam bulan ini sebagai sebahagian daripada langkah proaktif bagi memudahkan urusan pelanggan yang memerlukan bantuan pembayaran semula pasca moratorium.

Tempoh moratorium automatik sedia ada akan tamat pada 30 September depan.

Peka dengan persekitaran ekonomi yang mencabar, pihak bank menawarkan bantuan pembayaran semula bersasar kepada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya memahami bahawa sesetengah pelanggan mungkin menghadapi kesukaran untuk datang ke cawangan pada waktu operasi biasa.

"Justeru, kami mengambil inisiatif untuk membuka 10 cawangan seluruh negara pada Sabtu (12 dan 19 September 2020) dari 10 pagi hingga 3 petang, untuk khidmat rundingan dan penyerahan permohonan bantuan pembayaran semula pasca moratorium.

"Pihak bank sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan dijaga dan mereka berupaya mengharungi persekitaran mencabar ini.

"Apa yang perlu dilakukan pelanggan hanyalah datang dan berbincang dengan kami," katanya dalam satu kenyataan.

Cawangan terbabit adalah di Shah Alam, Selangor (Wisma PKPS, Seksyen 14), Kuala Terengganu dan Terengganu (Bangunan MAIDAM); Kota Bharu, Kelantan (Jalan Sultan Yahya Petra); Seremban, Negeri Sembilan (Kompleks MAINS); Ayer Keroh, Melaka (Kota Fesyen-MITC); Tampoi, Johor (Jalan Padi Emas 5/2), Ipoh, Perak (Kompleks Islam Darul Ridzuan) dan Kulim, Kedah (Taman Kulim Avenue, Kulim Hi-Tech).

Sementara di Sarawak pula di Kuching, (Jalan Kulas) dan Sabah, di Bangunan UMNO Sabah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 4:40 PM