Amran bersama ayam goreng yang diusahakan.
Amran bersama ayam goreng yang diusahakan.

PENANGAN dan fenomena drama Korea atau K-Drama ketika ini bukan sesuatu yang pelik.

Bahkan sejak sekian lama, daripada pelbagai lapisan umur, boleh dikatakan semua golongan meminatinya.

Lantaran itu memberikan ilham kepada pengusaha premis makanan terkenal, Amran Abd Hamid, 47, untuk memperkenalkan jenama ayam goreng, All Chicken World (ACW) sejak September tahun lalu.

Mengakui antara peminat setia K-Drama, pemegang Sarjana Muda Pentadbiran Korporat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini terdorong memasarkan ACW.

"Tidak boleh dinafikan permintaan masyarakat terhadap apa saja dari Korea itu ada di negara kita. Termasuklah dramanya yang mampu merentap emosi dan mencuit hati.

"Barisan pelakon wanita dan lelaki mereka pun memang menawan. Saya ini setakat minat dramanya saja, nak ingat nama pelakon wanitanya nanti isteri pantau pula," seloroh Amran.

Amran yang terlebih dahulu mengusahakan jenama Penyet Penyet.com (dulu dikenali dengan nama Dapur Penyet) sejak 11 tahun lalu optimis dengan jenama ayam gorengnya itu.

"ACW diinspirasikan daripada ayam goreng dari Korea tapi pastinya dengan sentuhan Malaysia serta diyakini halal. Kita pasarkan drummet (paha) ayam sebagai sajian snek ringan.

"Sebelum ini kerisauan saya untuk mendapatkan ayam goreng enak dari Korea di Malaysia timbul kerana belum pasti sama ada halal atau sebaliknya.

"Apabila mengusahakan sendiri, saya boleh pastikan ACW boleh dinikmati tanpa was-was. Ia tidak menggunakan ayam yang diimport atau sejuk beku. Kita gunakan ayam tempatan dan segar yang disembelih di pusat penyembelihan bertauliah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 10:41 PM