KHALIL menyampaikan ceramah kawasan sesuai untuk membeli rumah pertama pada pameran hartanah MyRumah 2019, di Komtar JBCC. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Nurul Amanina Suhaini


ILMU berhubung hartanah membantu individu merancang pembelian rumah, sekali gus mengelak daripada mengalami kerugian masa mahupun wang.

Pengasas Khalil Adis Consultancy Pte Ltd, Khalil Adis berkata, tidak dinafikan kemampuan setiap individu berbeza namun dengan pengetahuan yang diperoleh khususnya dari pakar hartanah ia dapat membantu memenuhi impian memiliki rumah pertama.

“Lokasi adalah yang utama. Harus faham apabila mencari lokasi kediaman di kawasan yang masih membangun adalah lebih baik berbanding mendapatkan rumah di kawasan yang sudah membangun.

“Selain ia mampu milik, kawasan yang masih membangun tidak sesak dan sekiranya difikirkan kalau sudah membangun akan ada potensi untuk harga rumah itu lagi tinggi.

“Semak harga pasaran rumah. Semak juga pemacu ekomoni hartanah yang membangunkan kawasan itu dan perlu faham bahawa pemaju yang bagus adalah pemaju yang mementingkan kemudahan seperti jalan, stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) atau ‘transportation master plan’ di kawasan pembangunan demi kesejahteraan penduduk yang tinggal di situ,” katanya ketika ditemui pada Pameran hartanah, MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Komtar JBCC, Johor Bahru.

Khalil berkata, semak laman web Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia terutama projek perumahan di bawah agensi kerajaan.

“Projek perumahan di bawah agensi kerajaan memberi gambaran apa yang akan berlaku dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang di kawasan itu, sekali gus menawarkan manfaat kepada pembeli yang merancang membeli rumah,” katanya.

MyRumah 2019 di Johor menawarkan lebih 3,397 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion.

Siri ketiga pameran hartanah MyRumah Komtar JBCC itu berlangsung bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam disertai lapan pemaju iaitu Bukit Pelali Properties Sdn Bhd, Dynasty View Sdn Bhd, GuocoLand (Malaysia) Berhad, Johor Land Berhad, KPKT serta Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seri Alam Properties Sdn Bhd dan UDA Land (South) Sdn Bhd.

Ia turut disertai MBSB Bank Berhad, Lionmas Furnishers (M) Sdn Bhd, Oriental Food Industries Sdn Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Bhd.

Terdahulu, siri pertama MyRumah dianjurkan di pusat beli-belah MyTown, Kuala Lumpur, pada Mac lalu dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sebelum diteruskan ke pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka, bulan lalu.

Selepas Johor Bahru siri jelajah pameran hartanah MyRumah 2019 akan berlangsung di Ipoh dan Shah Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 5:29 PM