WINGS bersama Edrie (kiri) dan Syam (kanan).
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Bukan sekadar muzik rock, Wings juga mampu menyampaikan semua genre lagu termasuk kerohanian.

Justeru, sempena Ramadan ini, Awie Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Hotel Premiera Kuala Lumpur mengadakan program raikan Ramadan Al Mubarak bersama Wings & Superfriends.

Dalam program itu, Wings mengadakan persembahan istimewa di dewan utama, hotel berkenaan pada 17 Jun depan.

Penyanyi Wings, Datuk Awie berkata, program itu sangat bermakna kerana buat pertama kalinya Wings bekerjasama dengan hotel untuk menjayakan persembahan pada Ramadan.

“Sejak ditubuhkan 32 tahun lalu, kami tidak pernah mengadakan persembahan di hotel pada Ramadan. Ia sekali gus melakar sejarah buat Wings,” katanya.

Awie berharap kejayaan persembahan Wings & Superfriends itu akan membuka laluan kepada band rock lain membuat persembahan di mana-mana hotel di negara ini setiap kali Ramadan.

“Ini adalah percubaan pertama Wings & Superfriends. Pihak kami juga ingin mengubah persepsi orang mengenai Wings. Kami bukan sekadar band yang membawa lagu rock yang bising dan bingit, tetapi kami juga band yang versatil,” katanya.

Selain hotel ini, Wings juga dijangka membuat persembahan di beberapa hotel lain di luar Kuala Lumpur.

Sempena persembahan istimewa ini, Awie berkata, Wings juga akan menyampaikan rangkaian lagu berunsur kerohanian dan kemanusiaan.

“Sebenarnya, sebanyak 80 peratus lirik lagu Wings berunsur kerohanian seperti Dari Tuhan, Alam Barzakh dan Misteri Mimpi Syakilla.

“Peminat juga akan lebih mendalami penceritaan dalam muzik dan lirik lagu Wings kerana ramai yang fikir kami band rock saja. Terpulanglah kepada tafsiran masing-masing,” katanya.

Selain lagu popular mereka, Wings juga akan menyampaikan rangkaian lagu yang sesuai dengan Ramadan dan Syawal.

“Kami akan berbincang mengenai lagu yang sesuai untuk disampaikan pada majlis bertemakan ‘Morocco’ itu. Mungkin saya akan sampaikan Asmaul Husna dan selawat nanti.

“Kami juga akan mengajak peminat mengingati kedatangan Syawal dengan menyampaikan lagu raya seperti Musafir Di Aidilfitri dendangan S Jibeng,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan, Awie berkata, ia membabitkan tiga segmen iaitu persembahan daripada Superfriends, Kudeen 3 Juara, Uchop Bukan Sekadar Rupa, Liza Hanim, Rody Kristal dan Eddie Def-Gab-C pada jam 6.30 petang.

“Segmen kedua dengan persembahan kumpulan Acapella dan acara kemuncak, Wings bersama Edrie Hashim dan bekas pemain gitar Wings, Syam akan beraksi secara akustik selama sejam.

“Wings & Superfriends juga akan menunaikan solat Maghrib berjemaah dengan peminat nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 5:16 AM