Susunan Michelle Gun


Penyanyi jelita Ariana Grande kembali ke Britain untuk melawat mangsa serangan bom yang cedera dalam serangan di Manchester, 22 Mei lalu.

Kejadian berlaku ketika konsert Grande di Arena Manchester dan serangan terbabit mengorbankan 22 nyawa. Lebih 100 mangsa dilaporkan cedera dan ramai dilaporkan masih mendapatkan rawatan di hospital.

Lawatan Grande ke hospital kanak-kanak Royal Manchester Jumaat lalu menjadi kenangan manis mangsa yang berkongsi gambar mereka bersama penyanyi itu di laman sosial. Grande turut meluangkan masa melawat keluarga mangsa yang terkorban termasuk ibu Martyn Hett dan Courtney Boyle di sebuah lokasi.

Tujuan lain ke sana untuk mengadakan persembahan amal bagi membantu mangsa serangan. Dia membuat persembahan di konsert amal One Love Manchester yang berlangsung petang semalam di Emirates Old Trafford Cricket Ground.

Selain Grande, barisan artis yang turut terbabit dalam konsert amal itu, Justin Bieber, Coldplay, Katy Perry, Miley Cyrus, Pharrell Williams, Take That, Niall Horan, Little Mix, Robbie Williams dan Black Eyed Peas.

Malah, syarikat rakaman naungan Grande, Universal Music Group turut menyalurkan bantuan lebih RM2.1 juta kepada We Love Manchester Memorial Fund.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 11:59 AM