NASIR bersama Isabella (kanan) dan Henna.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Berita pertunangan pemain bass Search, Nasir Daud, 57, dengan Henna Hassan, 35, pada 25 Mei lalu sememangnya mengejutkan banyak pihak.

Selama ini tiada siapa tahu rahsia disimpan kemas oleh Nasir yang sudah lima tahun bercerai dengan isterinya, pelakon Suhaina Yahya.

Ini bermakna selama lima tahun jugalah Nasir meraikan Aidilfitri sendirian sambil ditemani anak hasil perkongsian hidup dengan Suhaina iaitu Putera Najmi Ratna Anati, 26, dan Isabella Ratna Dewi, 18.

Hanya rakan terdekat iaitu ang­gota Search mengetahui apa yang berlaku dan menjadi tempatnya berkongsi perasaan.

Nasir mengakui hubungannya dengan Suhaina masih baik dan perpisahan mereka berlaku atas faktor kesihatan bekas isterinya itu yang mengalami kemurungan.

“Kami diibaratkan seperti saudara kerana menjaga anak bersama-sama. Perpisahan berlaku atas kehendak dia kerana faktor kesihatan. Lagipun, dia yang minta dilepaskan.

“Tiga tahun lamanya saya berfikir untuk mempertahankan rumah tangga kami sebelum ikut apa kehendaknya,” katanya.

Nasir berkata, faktor kesihatan Suhaina adalah segala-galanya. Apatah lagi sebelum ini dia tidak pernah ada isu berkaitan wanita.

“Saya sudah ada keluarga yang harmoni. Ada isteri cantik dan anak yang sempurna. Tak perlu nak fikir yang lain pun kerana saya dah ada semua itu, tapi ketentuan Allah menguji saya dengan perkara sebegini dan kena akur,” katanya.

Nasir berkata, dia mengadakan perbincangan dengan peguam syarie terlebih dulu dan disoal oleh hakim perkara sebenarnya sebelum keputusan dibuat.

“Selepas mereka tahu keadaan sebenar, mereka benarkan kerana perlu untuk kebaikan kami berdua. Ia dibuat demi untuk meri­ngankan bebanan fikiran Suhaina,” katanya.

Nasir bersyukur apabila anak memahami situasi sebenar. Mereka tinggal dengan ibunya, manakala Nasir membawa diri tinggal bersendirian.

Tak pernah merancang cari pengganti

Nasir bersyukur dapat menyambut Aidilfitri bersama bakal isteri dan anak.

Katanya, apabila sudah bertunang, dia perlu beritahu semua orang supaya tidak timbul sebarang tanggapan buruk.

“Sebenarnya saya tak pernah terfikir pun untuk cari pengganti. Saya hanya ikut apa yang akan berlaku. Perkenalan dengan Henna pun berlaku tanpa dirancang,” katanya.

Nasir berjumpa Henna yang berasal dari Labuan kira-kira setahun lalu tetapi kemudian terputus hubungan.

“Dia bagi nombor telefon tapi saya hilangkan. Saya pun tak tahu bagaimana nak cari dia selepas itu. Mungkin sudah jodoh, kami bertemu semula tiga bulan lalu di program Rockanova dan masing-masing berasa kami seperti memerlukan antara satu sama lain,” katanya.

Tanpa menunggu lama, Nasir melahirkan hasrat memperisterikan Henna dan hasratnya disambut dengan baik.

“Keluarga saya minta saya berkahwin dengannya. Begitu juga dengan kawan. Insya-Allah kami akan berkahwin hujung tahun ini,” katanya.

Nasir berkata, dengan kehadiran Henna, dia kini kembali merasai nikmat meraikan Aidilfitri.

“Henna sudah pesan kepada saya supaya membeli daging. Mungkin akan datang saya menziarahi keluarga bakal mentua yang menetap di Labuan.

“Saya teruja nak merasai suasana Aidilfitri di sana pula. Tak sangka jodoh saya dengan orang Labuan,” katanya.

Anak Nasir turut bersetuju dengan pilihannya kerana sudah lama melihatnya bersendirian.

“Saya senang dengan Henna kerana dia juga seorang penyanyi dan faham cara hidup saya.

‘Nasir lelaki yang baik untuk saya’

Henna yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 18 tahun mengakui Nasir seorang lelaki yang baik dan melihat keikhlasannya dalam perhubungan.

“Ada yang membantah tapi saya buat solat Istikarah untuk minta petunjuk dan dapat jawapan. Ada juga yang mempertikai perbezaan umur kami tapi saya tak terkesan langsung.

“Kebaikan Nasir mengaburi segala cakap-cakap tak elok yang diperkatakan orang terhadap­nya. Keluarganya juga baik-baik,” katanya.

Henna yang kini penyanyi kumpulan Noname bercadang berhenti menyanyi selepas berkahwin bagi menumpukan perhatian terhadap keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 1:30 AM