PENYAMPAI BERNAMA Radio kongsi pengalaman beraya.
PENYAMPAI BERNAMA Radio kongsi pengalaman beraya.
Nor Akmar Samudin


Selain menyambut hari kemenangan, Aidilfitri juga sebagai medan pertemuan saudara-mara dan sahabat handai.

Kepada yang lama tidak bertemu, inilah masa dan ketika untuk mengeratkan semula kemesraan.

Itulah yang dirasai Penolong Pengurus Persembahan BERNAMA Radio Nazira Noran dan penyampainya, Amar Yusoff, Raifa Zulkifli, Hezri Rahil, Natasha Aimee, Ziana Nasir, Hanie Hami dan Shuhadah Armawan.

Nazira Noran tak sanggup redah kesesakan

“Walaupun rasa gembira menyambut Syawal tidak seperti zaman kanak-kanak dulu, ia tetap memberi erti kerana dapat pulang ke kampung bersama keluarga.

Saya akan beraya dengan ibu bapa dan saudara di Pasir Mas, Kelantan.

Bagaimanapun, saya tak suka meredah kesesakan jalan raya. Saya pernah menempuh selama 20 jam perjalanan balik dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas. Ketika itu, ada berlaku kemalangan, lori terbalik dan menghalang laluan utama.

Waktu itu rasa penat sangat sehingga terfikir nak patah balik ke Kuala Lumpur tetapi disebabkan semangat nak balik raya, saya balik juga. Esoknya orang sambut raya, tapi saya tidur saja.”

Amar Yusoff sakit perut ketika beraya

“Menyambut Aidilfitri sebagai orang dewasa ini, rasa sedih dan gembira silih berganti. Sebagai bapa, persediaan lebih untuk anak.

Samalah keadaannya ketika kita kecil dulu, belum apa-apa lagi, selepas solat sunat Aidilfitri terus berjalan ke rumah jiran kutip duit raya.

Paling yang saya tak suka, tengah beraya tiba-tiba sakit perut. Agaknya apabila sudah menjamah pelbagai juadah raya, perut dah tak boleh tahan lagi. Nak balik ke rumah pula jauh dengan kesesakan jalan raya lagi. Memang haru betul masa itu.”

Raifa Zulkifli seronok jumpa saudara-mara

“Bagi saya, Aidilfitri bukan sekadar meraikan satu perayaan besar bagi umat Islam di seluruh dunia tetapi hari untuk kita bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim.

Selain itu, seronok dapat berjumpa saudara-mara yang kadangkala kami memang berjumpa hanya setahun sekali, apabila tibanya Aidilfitri.”

Hezri Rahil berehat sepanjang Aidilfitri

“Aidilfitri masa untuk berehat dan untuk seketika tidak perlu fikirkan kerja. Hati berasa tenang dan lapang dapat balik kampung.

Selepas solat sunat Aidilfitri, kami semua akan berkumpul di rumah dulu dan kemudian barulah keluar beraya di rumah saudara-mara serta jiran tetangga”.

Natasha Aimee makan bagai nak rak

“Saat indah apabila tiba Aidilfitri ialah dapat berkumpul beramai-ramai dan perkara yang paling saya suka ialah melihat anak yang ceria berbaju raya serta melihat mereka bermain bunga api. Terujanya lain macam.

Namun perkara yang agak menggerunkan untuk diri saya sendiri kerana pada Aidilfitri saya akan habiskan masa dengan makan!”

Ziana Nasir mahu nikmati masakan ibu

“Aidilfitri adalah masa terbaik untuk melupakan sengketa lama. Jika sebelum ini bermasam muka dan apabila Aidilfitri, hulurkan tangan untuk bermaaf-maafan.

Ketika Aidilfitri juga dapat menikmati ‘air tangan’ ibu yang menyediakan pelbagai juadah. Kepada yang masih ada datuk dan nenek pasti lebih gembira kerana masih berpeluang berhari raya dengan mereka.”

Hanie Hamid temu jodoh di Aidilfitri

“Setiap kali menjelang Aidilfitri, pasti memori ketika berusia sembilan tahun dulu terimbau kembali. Saya sentiasa menantikan hari raya pertama apabila selepas solat sunat Aidilfitri, saya akan mengikut abang sulung ke rumah keluarga mentua kerana saya ‘sukakan’ seorang budak lelaki di sana.

Ketika itu sekadar berangan-angan saja untuk menjadi ‘girlfriendnya’ tetapi tak sangka apabila sudah dewasa, kami bertemu jodoh. Sudah enam tahun kami bergelar suami isteri.”

Shuhadah Armawan seronok masak juadah raya

“Paling seronok dapat memasak dengan emak, nenek dan kakak di dapur. Keluarga saya tak besar mana tetapi kalau bertiga berada di dapur memang riuh. Lagi seronok apabila orang puji masakan saya sedap.

Bagaimanapun paling saya tak suka, apabila segala perancangan tak jadi. Mahu pergi beraya rumah kawan tetapi di balik kampung pula.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 2:16 AM