X
Ridzuan Abdul Rahman


Malam 1 Syawal lalu menyaksikan kumpulan Nico G yang dianggotai Nico, Affa, Dino dan artis di bawah naungan mereka, Joe Little G bersiaran secara langsung menerusi program Beraya Bersama Mak Cun di TV3.

Selepas berakhirnya program itu, barulah mereka pulang beraya bersama keluarga masing-masing.

“Nak dikatakan ada kampung tak juga kerana kami berasal dari Kampung Baru Kuala Lumpur.

“Malam raya kami berkumpul main bunga api, masak ketupat atau menjayakan aktiviti marhaban di kawasan sekitar,” kata Nico.

Sebaik selesai menyambut Aidilfitri, mereka kembali bekerja dengan menjayakan persembahan yang sudah diatur di beberapa lokasi antaranya Baling, Kedah.

“Kami juga akan buat kerja amal pengagihan makanan membabitkan Sekolah Sri Ampang, Keramat.

“Tugasan paling besar menanti kami ialah mini gig pada 29 Julai ini. Ia bagi mempromosikan single terbaru berjudul Dunia Alam Fana dan Belia Perwira,” kata Nico.

Celah Dino, gig itu membabitkan penyanyi rap Indie dari Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Kuching, Sarawak.

“Boleh dikatakan ini gig terbesar anjuran Nico G Entertainment yang akan berlangsung di Viva KL at The Row.

“Kami percaya gig ini akan melonjakkan kembali genre rap. Kalau dulu persembahan begini boleh melahirkan Too Phat, Ruffedge dan ramai lagi, kali ini mungkin boleh mencipta kumpulan generasi baru pula,” katanya.

Nico G akan menyampaikan tiga lagu yang dimuatkan dalam album Dunia Alam Fana iaitu Dunia Alam Fana, Ini Nasibku remix Showdown dan Belia Perwira Remix.

“Lagu Dunia Alam Fana ciptaan kami sepenuhnya mendapat sambutan positif daripada peminat,” kata Nico.

Mencipta populariti pada 1992 hingga awal 2000, Nico G percaya pengikut setia masih menyokong perjuangan seni mereka.

“Apa yang kami nampak, peminat era dahulu masih sokong kami dengan membeli cenderahati keluaran kami.

“Kami juga buat susunan muzik baru supaya lagu Nico G boleh diterima generasi muda,” katanya.

Biarpun ada yang mempertikai kemunculan mereka, bagi Nico G mereka masih relevan dalam industri.

“Peluang untuk artis baru mencipta nama sentiasa ada. Nico G pula mahu berkongsi pengalaman dalam bidang seni dengan mereka.

“Lagipun peminat merindui artis lama kerana kami ada kualiti tersendiri. Artis generasi baru pula mungkin ada yang berkualiti dan mungkin juga tidak. Kadangkala susah untuk peminat faham muzik dan lirik yang disampaikan,” kata Dino.

Menurut Affa, industri muzik sekarang amat berbeza berbanding dahulu, namun masih memberi pulangan yang bagus sekiranya kena dengan strategi.

“Dulu kita jual kaset dan CD tapi sekarang lebih kepada jualan cenderahati, medium digital dan pembabitan sebagai duta.

“Kami juga ikut trend terkini. Apa yang artis luar negara buat, kita pun kena buat juga,” kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 12:02 AM