Ahmad Idham pernah tawar watak heroin.
Norhayati Nordin


PELAKON dan penyanyi Ayda Jebat, 25, tidak menyangka pengarah dan penerbit Ahmad Idham Ahmad Nadzri nekad menggunakan single Pencuri Hati nyanyiannya sebagai lagu tema dan judul untuk filem terbarunya, Pencuri Hati Mr Cinderella.

Ayda atau Nur Suhada Jebat berkata, Ahmad Idham juga sebenarnya pernah menawarkan watak heroin filem itu kepadanya tetapi terpaksa menolaknya.

"Ketika itu, saya anggap tidak ada rezeki untuk bekerjasama dengan Ahmad Idham kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

"Apapun, saya sangat berbesar hati dan bersyukur walaupun tidak dapat berlakon tetapi single Pencuri Hati masih dipilih menjadi lagu tema dan judul untuk filem itu," katanya.

Menurut Ayda, sebagai anak seni yang baru menapak dan masih banyak pengalaman harus dikumpul, ia satu penghargaan bermakna buatnya dalam karier dibina.

"Saya memang tak duga langsung bahawa abang Ahmad Idham sudi mengangkat single Pencuri Hati menjadi lagu tema untuk filem kerana maklum balas biasa saya terima mengenai lagu ini ia sesuai untuk runut drama.

"Kenapa sesuai untuk lagu tema drama, antara alasan diberi single Pencuri Hati terlalu ringan aspek melodinya yang 'catchy' dan agak rancak.

"Apabila dapat tahu Ahmad Idham berminat mengangkat single Pencuri Hati sebagai lagu tema dan judul filem, pada saya ia satu pencapaian hebat buat lagu ini," katanya.

Single Pencuri Hati yang dilancarkan Ayda tahun lalu hasil ciptaan Kevin Chin manakala lirik ditulis bersama Kevin dan Ayda. Lagu ini juga dirakam dalam versi dangdut.

Menurut Ayda lagi, apa yang diharapkannya ialah impak lagu Pencuri Hati akan dapat membantu kutipan filem Pencuri Hati Mr Cinderella ketika ditayangkan di pawagam bermula 10 Ogos ini.

Filem Pencuri Hati Mr Cinderella turut menampilkan Ahmad Idham sebagai pelakon utama di samping Atikah Suhaime.

Pelakon lain, Datuk Eizlan Yusof, Hairul Azreen, Dayana Roza, Cat Farish dan Haliza Misbun.

Pencuri Hati juga dipilih sebagai lagu tema untuk pembikinan belakang tabir penggambaran filem itu.

Ayda juga mengharapkan single nyanyiannya yang lain seperti Siapa Diriku, Nakal Nakal Nakal dan terbaru, MATA akan mendapat peluang sehebat lagu Pencuri Hati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 5:27 PM