AMAR mahu berada di sisi Amyra setiap saat.
AMAR mahu berada di sisi Amyra setiap saat.
Georgie Joseph


Sejak mendirikan rumah tangga, pelakon Amar Baharin, 32, nampaknya begitu seronok menjalani kehidupannya sebagai suami. Tidak lama lagi dia akan bergelar bapa pula hasil perkongsian hidup dengan pelakon Amyra Rosli.

Pelakon Tersuka Tanpa Sengaja itu mengakui tanggungjawabnya semakin besar. Di samping perlu terus bekerja, dia tetap setia di sisi isteri tanpa sebarang alasan.

Apalagi, Amyra kini lebih banyak berehat dan menghabiskan masanya menjaga kandungan. Kata Amar, dia tidak mahu isterinya terabai biar sesaat pun.

“Saya perlu sentiasa ada di sisi Amyra sekarang. Terutama apabila dia perlu menghadiri pemeriksaan kandungan, saya akan pastikan pergi menemaninya.

“Kalau ada apa-apa kerja pada hari berkenaan, saya akan tolak kerana tidak mahu membiarkan Amyra pergi sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon itu tetap bekerja seperti biasa kerana perlu mencari rezeki lebih.

“Kerja tetap kerja. Memandangkan Amyra kini berehat jadi menjadi tanggungjawab saya untuk bekerja lebih keras dan memastikan keperluan seisi keluarga tidak terabai.

“Saya tiada perancangan memperlahankan kerjaya menjelang detik mahu bergelar bapa. Bagaimanapun, saya masih mencuri masa terluang untuk sentiasa bersama isteri di samping keluar bekerja,” katanya.

Sibuk dengan penggambaran, Amar juga tampil dengan drama terbaru berjudul Detik Cinta Stetoskop yang ditayangkan di saluran RTM.

Buka Instagram untuk anak

Berkongsi mengenai cahaya mata sulungnya, Amar berhasrat membuka akaun media sosial untuk bayi yang dijangka lahir pada penghujung Oktober nanti.

Menurutnya, dia tiada masalah dengan hal itu memandangkan ramai selebriti berbuat demikian malah penting baginya untuk berkongsi dengan peminat.

“Saya dan isteri sepakat buka akaun media sosial untuk anak kami nanti. Terpulanglah orang suka atau tidak tetapi bagi kami ia penting kerana boleh dijadikan kenangan.

“Lagipun, ini trend sekarang, jadi kenapa saya tak boleh buat? Rata-rata semua orang ada akaun media sosial dan koleksi gambar mahupun video yang dikongsi itu boleh jadi kenangan 20 tahun akan datang.

“Tak salah, kan?” katanya.

Bercerita lanjut mengenai bayi yang bakal lahir itu, Amar berkata doktor belum dapat mengesahkan jantina meskipun sudah beberapa kali melakukan imbasan.

“Sehingga kini kami belum tahu jantina bayi kerana asyik terlindung apabila melakukan imbasan. Doktor ada juga melakukan beberapa perkara untuk mengenal pasti jantina bayi namun tidak berhasil.

“Tak kisahlah lelaki atau perempuan, kami terima dengan hati terbuka. Apa yang penting, bayi sihat,’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 12:30 PM
Digital NSTP Subscribe