MOHD Naim ambil kelas vokal sebagai persiapan tempuh cabaran dunia seni.
MOHD Naim ambil kelas vokal sebagai persiapan tempuh cabaran dunia seni.
Nor Akmar Samudin


Menyedari dirinya masih kerdil dalam dunia hiburan tanah air, Mohd Naim Zamri, 20, sanggup belajar vokal dengan penyanyi dan komposer, Aesar Mustapha kerana tidak mahu memalukan diri sendiri.

Meskipun dia begitu teruja untuk menjadi penyanyi, Naim sedar ia tidaklah semudah apa yang diangankan sebaliknya perlu membuat persediaan bagi menghadapi pelbagai cabaran.

Langkah Naim dalam dunia seni bermula apabila dia menyertai pertandingan Mr Raya anjuran Aesar yang diadakan di sebuah pusat beli belah di ibu kota pada Ramadan lalu.

Menurutnya, selepas berada dalam industri, dia akan berusaha mempelbagaikan kebolehannya untuk membolehkan kehadirannya terus diterima dalam industri.

“Saya akan kembangkan bakat yang ada bagi memaksimumkan kebolehan dalam bidang seni. Meskipun seni suara menjadi fokus utama, saya tetap bersedia mencuba cabang lain,” katanya.

Naim masih belajar di Politeknik Shah Alam dalam jurusan perniagaan berhasrat untuk serius menyanyi dan dengan adanya Aesar sebagai mentor, dia sudah bersedia untuk pergi lebih jauh.

Menitikberatkan imej, tidak sukar bagi anak muda ini untuk bergaya kerana dia memiliki pakej yang diperlukan oleh penyanyi. Namun pada usia yang masih muda dan bergelar pelajar, Naim selesa tampil dengan gaya sederhana namun sedap mata memandang.

Melihatkan gaya, rupa dan usianya pasti ramai meramal dia bakal menambahkan lagi ‘geng’ artis baru yang mencipta nama sekarang seperti Aiman Tino, Ismail Izzani, Haqiem Rusli, Khai Bahar dan Suffian Suhaimi.

“Saya bangga dengan pencapaian mereka dan mana yang baik, tidak salah untuk saya jadikan panduan. Rezeki mereka, cepat mendapat tempat di hati peminat,” katanya.

Bagi membezakan dirinya dengan penyanyi sedia ada, Naim akan membentuk identitinya sendiri.

Naim kini bersedia masuk ke studio untuk merakamkan single pertamanya, lagu ciptaan Aesar berentak balada.

“Abang Aesar mahu saya mencuba lagu yang berentak ‘catchy’ tetapi orang sekarang suka dengar lagu balada jadi kenalah ikut apa yang orang mahu dengar. Mungkin saya akan buat dua lagu, satu balada dan satu lagi ‘catchy’ .

“Saya menurut saja cadangan Abang Aesar untuk merakamkan dua lagu kerana akan dapat maklum balas segera daripada pendengar, genre mana yang lebih diterima mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 1:53 AM
Digital NSTP Subscribe