Huda hara peminat tak mudah percaya. FOTO Twitter
Huda hara peminat tak mudah percaya. FOTO Twitter
Sudirman Mohd Tahir


PENERBIT Eksekutif Muzik Muzik 32 Nurul Huda Khalid menafikan 30 lagu yang didedahkan sebuah blog adalah senarai akhir peringkat separuh akhir Muzik Muzik 32.

Huda berkata, senarai itu tidak betul sama sekali dan berharap peminat tidak mempercayai mengenai apa yang dikongsikan.

"Buat masa sekarang undian kepada setiap lagu yang terdapat dalam carta masih dibuka. Jadi tidak logik jika kami sudah mempunyai senarai akhir. Senarai penuh lagu bakal diumumkan pada pertengahan Oktober ini.

"Kalau nak tahu, senarai yang dikongsikan itu antara lagu yang pernah dan masih berada dalam carta Muzik Muzik 32. Disebabkan itu peminat jangan mudah percaya dan menaruh harapan tinggi," katanya.

Huda juga menjelaskan format pemarkahan bagi melayakkan sesebuah lagu ke peringkat separuh akhir masih sama.

Selain berdasarkan pengiraan undian dalam carta, terdapat lima lagu yang layak secara 'wild card' menerusi Showcase Muzik Muzik 32.

"Untuk tahun ini kita ada lima kali showcase. Setiap showcase mempertandingkan lima lagu dan satu lagu terbaik dipilih secara 'wild card' bagi melayakkannya terus ke peringkat separuh akhir.

"Setakat ini kita sudah ada tiga lagu yang layak iaitu Segalanya nyanyian Haqiem Rusli, Lebih Sempurna (Syamel) dan Warkah Untukku (Ara Johari)," katanya.

Pun begitu, empat lagu lain yang dipersembahkan pada Showcase Muzik Muzik 32 tidak semestinya layak ke peringkat separuh akhir.

Program Muzik Muzik 32 menampilkan pengacara Sherry Al Hadad dan Hefny Sahad bersiaran secara langsung setiap Isnin jam 11 malam di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 1:37 PM