Syafil Syazwan Jefri


ISTERI kepada penyanyi, Hafiz Hamidun, Siti Arifah Amin, 30, atau Joy Revfa menyerahkan saman dan penyata tuntutan terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya, hari ini.

Joy ketika ditemui berkata, tindakan itu diambil bagi mempertahankan hak dan maruahnya sebagai isteri selepas berkahwin pada 1 Mei lalu.

“Sejak berkahwin, kami hanya sempat tinggal serumah selama enam hari sebelum dia tiba-tiba muncul pada 23 Mei lalu dan memberitahu perkahwinan kami tidak sah.

“Sepanjang bersama, saya tak nafikan dia adalah suami yang penyayang dan kami melalui kehidupan seperti suami isteri lain. Selebihnya, saya tak mahu kongsi kerana ia terlalu peribadi,” katanya.

Joy turut mendakwa, selepas 23 Mei dia tidak lagi dilayan seperti seorang isteri dan kebajikannya dengan anak turut tidak dipedulikan.

“Saya yakin pernikahan kami memang sah di sisi undang-undang dan agama. Saya tidak meragui perkara itu, tetapi dia sebaliknya.

“Sepanjang tempoh itu, saya ada menghubunginya dan merayu supaya dia kembali. Saya rasa tidak adil untuk saya dilayan sedemikian rupa,” katanya yang masih menyayangi Hafiz dan keluarga mentuanya.

Menurut Joy, walapun pelbagai isu timbul dan dimanipulasi pihak tertentu, hatinya tak pernah berubah dan masih sayangkan Hafiz seperti mana ketika mula mengenalinya.

“Hubungan saya dengan keluarga mentua juga sangat rapat dan mereka sentiasa memberi sokongan kepada saya setiap kali berdepan masalah,” katanya.

Terdahulu, pada Jumaat lalu, Joy memfailkan permohonan faraq nikah untuk membubarkan perkahwinan mereka.

“Permohonan faraq itu adalah untuk saya menyelesaikan beberapa perkara terdahulu sebelum kami bergelar suami isteri dan saya tidak dapat jelaskan kerana ia sulit,” katanya.

Menurut Joy, tindakannya itu bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi untuk membuka mata wanita lain mengenai hak sebagai isteri.

“Sekurang-kurangnya saya ada kerjaya. Bayangkan jika masalah ini berlaku kepada wanita yang bergantung penuh kepada suami. Apa nasib mereka?

“Dengan tindakan ini, saya ingin semua wanita membuka mata dan sedar mengenai hak sebagai isteri dan undang-undang perkahwinan Islam,” katanya.

Joy yang diwakili peguam syarie, Muhammad Nur Hafiz Roslan hadir ke mahkamah ditemani ibu dan kakaknya.

Joy yang berpakaian warna merah jambu sebak ketika menjawab pertanyaan media terutama berkaitan hubungannya dengan Hafiz.

Sementara itu, Hafiz ketika dihubungi menyerahkan perkara itu kepada mahkamah yang akan bersidang pada 14 September ini.

“Mengikut perancangan asal, saya ingin memfailkan permohonan faraq nikah pagi ini, tetapi gagal kerana pihak Joy sudah memfailkan terlebih dahulu.

“Jadi, saya hanya menunggu tarikh sebutan pada 14 September depan. Selebihnya saya tak mahu komen kerana saya menghormati mahkamah.

“Apa pun kenyataan yang dikeluarkannya sama ada ia berkaitan emosi atau tidak, dia perlu bertanggungjawab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 1:09 PM
Hafiz bersama Joy Revfa. FOTO HM