SELAIN berlakon, jejaka bertubuh sasa ini turut miliki syarikat produksi.

Tidak dinafikan dunia lakonan lubuk meraih kekayaan jika kena caranya.

Namun, ia ada risiko dan rintangan sebelum menggapai kejayaan.

Sebagai pendatang baru perlu banyak belajar dan sentiasa memperbaiki diri agar tidak dilabel pelakon ‘kayu’ atau gelaran lain yang tidak menyenangkan hati.

Bagi pelakon drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin yang semakin mencuri tumpuan penonton di TV3, Idris Khan mengakui sentiasa memberikan terbaik dalam setiap karya yang dibintanginya.

“Setiap pelakon perlu ada kemajuan diri. Kalau bermula sebagai ‘kayu’, janganlah ‘kayu’ sampai ke sudah.

“Perlu sentiasa perbaiki diri dan tingkatkan mutu lakonan supaya watak yang dibawa meninggalkan kesan di hati penonton,” katanya.

Idris yang bermula sebagai peragawan mengakui masih banyak teknik lakonan yang perlu dipelajari dan tidak pernah menganggap dirinya hebat.

“Ada banyak kelemahan pada diri ini. Disebabkan itu saya banyak bertanya pelakon senior dan pengarah agar tidak kelihatan kaku di televisyen.

“Selain itu, saya juga akan membaca skrip terlebih dulu bagi memahami karakter yang bakal dilakonkan. Saya percaya apabila kita faham karakter, pasti tiada masalah untuk membawakannya dengan baik,” katanya.

Selain berlakon, jejaka bertubuh sasa ini turut memiliki syarikat produksi yang dinamakan Centro Pictures.

Idris mengakui bukan mudah untuknya menggalas komitmen sebagai penerbit dan perlu banyak belajar.

“Kebelakangan ini saya jarang muncul di TV kerana mahu fokus membangunkan Centro Pictures. Syarikat ini saya tubuhkan bersama tiga rakan kongsi,” katanya.

Meskipun tiada pengalaman duduk di kerusi penerbit, dia yakin dapat melakukannya dan tidak kisah belajar dari bawah.

“Saya memang minat dengan kerja belakang tabir dan sangat bersyukur apabila dapat merealisasikan impian bergelar penerbit.

“Saya akan belajar dari bawah dan tidak kisah bertatih,” katanya.

Centro Pictures pernah menghasilkan dokumentari berjudul Madness of Borneo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 6:54 AM