RAMAI anggota kumpulan After School bawa haluan sendiri lepas berkahwin.
Amirul Haswendy Ashari.

Selepas Kahi bergelar isteri pada 26 Mac 2016, kini giliran Jung Ah pula berkahwin. Bekas ahli kumpulan After School itu disahkan memilih Jung Chang Young, pemain bola keranjang profesional daripada Changwon LG Sakers sebagai suami.

Pada 24 Ogos lalu, sumber daripada agensi mewakili Jung Ah mengatakan, pasangan itu akan mengadakan upacara perkahwinan pada 24 April tahun depan.

“Jung Ah mula mengenali bakal suaminya sebagai kawan kira-kira setahun lalu. Dia memilih Jung Chang Young kerana tertarik pada peribadinya yang sungguh menenangkan.

“Dalam pada itu, Jung Ah merancang untuk meneruskan kerjaya dalam bidang penyiaran walaupun selepas berkahwin,” kata sumber.

Bakal suami Jung Ah berumur lima tahun lebih muda dan mereka dilaporkan bercinta sejak setahun lalu.

Berita itu berbeza dengan nasib menimpa rakannya, Uee yang pernah mengesahkan bercinta dengan Kangnam pada 14 Julai lalu. Pasangan Uee dan Kangnam dikatakan mula bercinta selepas menyertai program Law of the Jungle, antara program realiti saluran SBS.

Pada awalnya, mereka menafikan sebarang hubungan istimewa tetapi kemudian mengakuinya selepas foto mesra mereka menular menerusi media sosial. Pun begitu, selepas dua minggu berita pasangan itu muncul, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah.

Selepas pengumuman itu dibuat, agensi mewakili Uee dan Kangnam mengesahkan mereka berdua menjauhkan diri masing-masing selepas tiga bulan bersama kerana isu jadual padat.

Uee yang mula dikenali melalui After School pada 2009, memutuskan untuk keluar daripada kumpulan itu selepas kontrak bersama Pledis Entertainment tamat pada Mei lalu. Pada masa ini, selebriti jelita itu menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonan yang sedang berkembang.

Kangnam yang berdarah kacukan Korea-Jepun pula adalah vokalis kumpulan hip hop, MIB.

Dalam pada itu, rakan Jung Ah dan Uee, Nana dalam perbincangan untuk melakonkan watak utama dalam drama terbaru, Four Sons.

Menurut Pledis Entertainment, Nana sangat optimis berkaitan tawaran untuk bekerja dengan produksi baru.

Fours Sons mengisahkan detektif wanita yang bertembung dengan seorang lelaki yang persis bekas teman lelakinya. Nana akan memainkan watak detektif itu manakala Park Hae Jin pula disahkan membawa watak utama lelaki.

Drama baru itu dijadualkan memulakan penggambaran pada November depan dan dipercayai akan disiarkan menerusi saluran SBS. Sebelum ini, Nana sering mendapat reaksi positif daripada peminat susulan persembahannya dalam drama Good Wife.

Walaupun ramai anggota kumpulan After School membawa haluan masing-masing, kumpulan itu kekal dinobatkan antara 10 kumpulan Kpop wanita terbaik sejak sedekad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:04 AM