Elfira bukan kahwin tapi bertunang. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Michelle Gun


PELAKON dan pengacara Elfira Loy mengesahkan bakal bertunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi pada Oktober ini dan bukannya berkahwin seperti didakwa pihak tertentu di media sosial.

Bagaimanapun, Elfira berkata, tarikh majlis pertunangan belum ditetapkan kerana perlu menunggu perbincangan keluarga kedua belah pihak.

"Bapa saya perlu ke Johor untuk berbincang dengan bapa Sufian. Tarikh perkahwinan juga belum ada dan mungkin tahun depan," katanya.

Menurut pelakon itu, dia berkenalan dengan Sufian dengan lebih dekat pada majlis ulang tahun kelahirannya, baru-baru ini.

"Selepas tiga bulan berkenalan, saya melihat Sufian serius terhadap hubungan kami. Kemudian, dia menghantar rombongan merisik Julai lalu," katanya.

Elfira berkata, penyanyi berkenaan memiliki ciri-ciri lelaki idamannya iaitu bertolak ansur dan bersabar.

"Bagi saya, paras rupa, status dan kemewahan bukan keutamaan kerana paling penting bakal suami boleh bersabar dan toleransi.

"Sufian memberitahu, kalau tiada kesabaran cinta boleh musnah," katanya.

Menurut Elfira lagi, setiap hari dia perlu bangun awal untuk membuat kerja rumah sebagai persiapan memasuki alam perkahwinan.

"Ibu mahu saya bersedia dengan tanggungjawab yang bakal dipikul sebagai isteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 10:15 PM