X
Fazura tampil dalam Warkop 2. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Fazura tampil dalam Warkop 2. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syanty Octavia Amry


PELAKON jelita Nur Fazura yang sebelum ini berjaya menembusi pasaran Indonesia menerusi filem komedi negara itu, Warkop bakal tampil dengan sekuel filem berkenaan iaitu Warkop 2.

Filem berkenaan mendapat sambutan hebat di Indonesia ketika ditayangkan sebelum ini.

Fazura berkata, dia bersyukur apabila peminat di Indonesia menerima baik kehadirannya.

“Selepas berlakon filem Rafathar, saya turut terbabit sekali lagi untuk filem Warkop 2 yang akan ditayangkan esok.

"Saya tahu mungkin peminat di sini tidak faham lawak di sana dan begitu juga sebaliknya. Tetapi apabila melihat sambutan penonton terhadap filem Warkop pada sesi tayangannya yang lalu, satu panggung riuh dengan gelak ketawa.

"Saya yakin Warkop 2 akan mendapat sambutan luar biasa," katanya.

Fazura berkata, apa yang dilaluinya kini adalah rezeki selepas dia terbabit dengan program Facing Up to Fazura yang ditayangkan di saluran E!.

"Tidak saya nafikan selepas program berkenaan saya banyak mendapat tawaran dari negara jiran seperti Filipina dan Indonesia.

"Saya juga akan ke Scotland untuk menjalani penggambaran filem Ayat Ayat Cinta 2 dan memegang watak sebagai peguam bernama Brenda," katanya.

Berkongsi mengenai filem itu, Fazura sendiri teruja dan tidak menyangka diberi peluang berlakon dalam filem berkenaan.

"Pertama kali memegang watak sebagai peguam ia satu pengalaman baru untuk saya. Diharap saya dapat lebih mendalami watak berkenaan ketika di Scotland nanti," katanya.

Ayat Ayat Cinta 2 turut dibintangi Fedi Nuril, Chelsea Islan, Dewi Sandra dan Tatjana Saphira.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 8:05 PM