ROY bersama koleksi buku tulisannya.
Amirul Haswendy Ashari


Lagu Kau Ratnaku boleh dikatakan lagu wajib sesi karaoke bagi peminat aktiviti itu, tetapi pelantun lagu itu, Roy atau Mohammed Rauzan Alwi, 53, bagai hilang dari radar seni sedekad lalu.

Hang Pi Mana? minggu ini berjaya menjejaki penyanyi asal Banting, Selangor itu pada sesi temu bual eksklusif di studio Sonicsoul milik rakannya di Neo Damansara, Isnin lalu.

Masih mesra seperti dahulu, Roy akui sibuk dengan aktiviti mengajar sebagai tutor dan pensyarah muzik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi sejak empat tahun lalu.

Selain itu, dia juga sibuk menulis buku keempat yang menyentuh ilmu muzik dan seni persembahan. Sebelum itu Roy mengajar koir orkestra sebagai pensyarah di Fakulti Muzik di Universiti Malaya (UM) dan juga mengajar koir di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Unit Tindakan Ekonomi, MRSM Trolak dan beberapa tempat lain.

“Tidak dinafikan, ramai yang semakin melupai saya dan ada bertanya ke mana menghilang. Sebenarnya saya masih di sini. Kadangkala saya akan ‘busking’ bersama pemuzik jalanan di sekitar Banting,” katanya.

Bapa kepada tiga anak, Mohammad Ridhwan, 28, Mohammad Rashiddin, 22 dan Siti Aisyah, 20, akui pada awal ramai memberi persepsi negatif apabila dia melakukan aktiviti ‘busking.’

Katanya, aktiviti itu sudah sebati dengan jiwa seni dan muzik yang ada dalam dirinya. Perasaan malu tidak wujud kerana ia sama saja kaedahnya dengan seni persembahan lain.

Telahnya, masyarakat tempatan mula menerima kehadirannya melakukan persembahan muzik jalanan. Malah jika dia ‘bercuti’, ramai yang mulai merindui kemunculannya di sana.

Selain ‘busking’ dan mengajar, dia juga membantu anak sulung dan isterinya, Haslinda Abdul Rahman, 52, mengusahakan perniagaan makanan di kantin sekolah di Banting.

Ditanya kenapa menetap di sana berbanding di Kuala Lumpur yang mempunyai lebih banyak peluang meneruskan kerjaya seni, Roy ada alasan sendiri.

“Saya memang berasal sana dan sudah membeli rumah untuk keselesaan sekeluarga. Jujurnya tawaran menyanyi tidak lagi ‘selebat’ dahulu.

“Sesekali jika ada undangan persembahan atau projek menyanyikan lagu iklan, barulah saya ke sini (KL),” katanya tenang.

Rezeki lagu patriotik

Dikenali sebagai penyanyi lagu patriotik, Roy pernah berasakan keputusan memilih genre itu bakal menutup periuk nasinya.

Tetapi tanpa disedari, genre itu sebenarnya mempunyai pasaran tersendiri terutama setiap kali tibanya sambutan kemerdekaan.

Mengimbau kenangan lalu, Roy sering diundang membuat persembahan menyanyikan lagu genre itu di seluruh Malaysia.

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Roy akui sedari dua tahun lalu, dia tidak lagi mendapat undangan persembahan pada hari istimewa itu.

Dia percaya pasaran muzik masa kini sudah berubah dan lagu genre patriotik juga berubah dari semasa ke semasa.

“Saya tidak boleh merungut sebab perubahan itu memang berlaku. Genre muzik juga sudah berubah dan sisi patriotik sesebuah lagu juga turut berubah.

“Dulu orang suka lagu yang mempunyai rentak ‘marching’ (berkawad), tetapi sifat muzik berubah dengan adanya elemen moden seperti R&B dan ‘rap’,” katanya.

Disebabkan itu, dia berpendapat lebih baik ‘biarkan sahaja’, asalkan sisi patriotik masih kekal terutama untuk generasi muda.

Hal sama dikongsi mengenai genre lagu masa ini yang rata-rata lebih mesra pendengar. Enggan meratapi situasi yang melanda kini, Roy menyimpan hasrat kembali ke industri muzik melalui beberapa lagu baru.

Katanya, dia kini mencari komposer dan penulis lirik yang boleh merealisasikan hasratnya itu.

Harapannya lagu itu masih mengekalkan genrenya yang bersifat jaz, tetapi mempunyai elemen kemelayuan seperti Kau Ratnaku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 1:06 AM