POSTER Munchausen Melalui Proksi.
YUSLINA Yusof sebagai Nurlela.
WAZIR sebagai Solihin.
Ridzuan Abdul Rahman


Sempena Festival Teater Negeri Pulau Pinang 2017, orang ramai berpeluang menonton pementasan Munchausen Melalui Proksi karya dan arahan Yusof Bakar.

Teater ini akan dipentaskan di Auditorium P Ramlee, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang pada 8 September, jam 8.30 malam.

Yusof yang juga dikenali sebagai Dudok adalah Pegawai Kebudayaan di Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Dia mementaskan teater atas minat yang mendalam dan turut bertindak sebagai pengerusi persatuan teater Bakawalee Penang.

Yusof berkata, teater garapannya seringkali tampil dengan mesej membina dan untuk naskhah ini dia cuba mengutarakan isu kesihatan.

“Saya mahu paparkan masih banyak lagi isu kesihatan mental tidak disedari masyarakat. Kadangkala isu ini berkait rapat dengan sosiobudaya masyarakat Malaysia dan dicetuskan oleh sentimen yang tanpa disedari adalah gaya hidup kita semua.

“Semoga teater ini menyuntik sedikit ilmu dan kesedaran ke arah peningkatan kesihatan mental yang lebih baik. Saya juga berhasrat membina khalayak teater yang tidak pasif akal dan tinggi pemikiran. Teater tak sepatutnya hanya dianggap medium hiburan semata-mata tetapi juga ruang untuk membangunkan minda masyarakat,” katanya.

Menurut Yusof, teater ini mengisahkan permasalahan yang dihadapi Nurlela. Dia menghidap demensia yang serius sehingga menggugat keharmonian rumah tangga anaknya, Solihin dan isteri, Melati.

“Melati anak orang kaya tetapi memilih untuk berkahwin dengan Solihin yang sederhana atas dasar cinta. Mereka tinggal bersama dan hidup bahagia sehinggalah Nurlela mula dikesan menghidap demensia.

“Demi menjaga Nurlela, Melati terpaksa berhenti kerja. Sementara itu, Solihin seakan-akan tidak peduli dengan tekanan yang ditanggung Melati menyebabkan rumah tangga mereka berantakan,” katanya.

Yusof berkata, mungkin ramai menuding jari kepada Nurlela yang menyebabkan rumah tangga anaknya kucar-kacir.

“Masalah sebenar keluarga ini bukanlah pada penyakit demensia tetapi sindrom Munchausen By Proxy yang dihidapi Nurlela kini diwarisi Solihin.

“Pasti ramai tertanya-tanya apa itu Munchausen Melalui Proksi? Untuk mengetahui jawapannya, mereka perlu hadir menonton sendiri di Auditorium P Ramlee secara percuma,” katanya.

Watak Nurlela dilakonkan Yuslina Yusof, pelakon teater veteran Pulau Pinang yang sudah membabitkan diri dalam pementasan teater dan lakonan televisyen sejak 15 tahun lalu. Dia adalah pengusaha kantin sekolah dan tidak pernah jemu menyumbangkan pengalaman dan ilmu buat pelakon baru.

Watak Solihin pula dijayakan Wazir Bakri. Dia berkhidmat sebagai eksekutif pengeluaran di sebuah kilang di Bayan Lepas dan menceburi dunia teater sejak lima tahun lalu.

Sementara watak Melati dibawakan Natasha Al-Haq, seorang pelakon muda yang mendapat pendidikan awal teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kini melanjutkan pelajaran di Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia dalam bidang Drama & Teater.

Teater ini dipentaskan bersama lapan lagi kumpulan yang bertanding iaitu kumpulan Gasewap dengan Tamu Dari Medan Perang, Kelab Teater Perbaru IPG (Satu), Tomato Production House (Kelab Kelahi), Kumpulan Mutiara (Bukan Gila), Riki Universal (Rejam Lara), Penang Opera (Dikir Dari Rimba), Produksi Karya UiTM (Zulaikha) dan Sireh Production (Siapa Matsuri).

Festival Teater Negeri Pulau Pinang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang

Munchausen Melalui Proksi diterbitkan Bakawalee Penang dan adalah produksi teater yang ke-42.

Menerusi Festival Teater Negeri Pulau Pinang, Bakawalee Penang pernah menjadi johan dengan karya Dekam De Facto, Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 dan Perhiasan Kaca.

Bakawalee Penang pernah layak ke peringkat Kebangsaan dengan karya Dusta pada Skala 1 Hingga 10 dan Perhiasan Kaca serta mendapat tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 8:46 AM