Skip this ad x
G-DRAGON dedah sisi peribadinya.
KEMUDI konsert dengan cara tersendiri.
BERDUET dengan artis jemputannya Dara.
PENONTON tidak berganjak walaupun hujan.
Georgie Joseph


Penyanyi ini boleh diibaratkan raja industri muzik Korea Selatan. Kwon Ji Yong atau G-Dragon memang tiada tandingan dan mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia.

Hadir semula ke sini menjayakan siri jelajah solo keduanya menerusi konsert Act lll: Motte ‘Moment of Truth the End Kuala Lumpur’, penyanyi itu meninggalkan peminat dengan teka-teki.

G-Dragon dilihat begitu beremosi sewaktu mendendangkan setiap lagunya. Jelas dia seperti ingin menyampaikan banyak hal tersirat menerusi bait lirik lagunya.

G-Dragon tampilkan sisi peribadinya dalam konsert berkenaan. Sama ada dia mahu meluahkan isi hati atau sebaliknya, penyanyi itu jelas mahu berkongsi sesuatu dengan peminatnya.

Penyanyi terkenal itu berjaya membuai hati lebih 10,000 penonton dengan ketelusannya dalam persembahan. Menerusi konsert itu dia membawa penonton meneroka dunianya yang berbeza dan bukan tampil sebagai penyanyi semata-mata.

Diakui, G-Dragon bukan handal dari segi vokal. Bagaimanapun, peminat sedia maklum dia punya personaliti yang kuat. Kelebihan itu secara tidak langsung menyerlahkan auranya setiap kali beraksi di atas pentas.

Itulah juga ditampilkan G-Dragon pada kunjungan kali ini malah dia tidak hipokrit dengan cuba menonjolkan kekuatan vokalnya. Sepanjang persembahan dia selesa menjadi diri sendiri dan mengemudi persembahan dengan baik.

Malah, dia turut mengakui dirinya insan biasa yang rapuh seperti orang lain. Dia seakan-akan mahu peminat melihatnya sebagai Kwon Ji Yong dan bukannya G-Dragon.

Emosi yang ditunjukkan cukup menusuk jiwa apatah lagi dia sememangnya penuh dengan misteri.

Apapun, harus dipuji konsep konsert kali ini sangat luar biasa. Ia mencerminkan sisi sebenar G-Dragon dan berbeza dengan konsert solonya sebelum ini.

Prop pentas yang dibina daripada blok bergerak sangat mengagumkan. Begitu juga dengan percikan bunga api yang mengiringi hampir semua persembahannya.

Aspek teknikal cukup sempurna dan teliti penghasilannya. Terbukti G-Dragon mahukan konsert itu meninggalkan impak mendalam di hati peminatnya.

Hujan sama sekali tidak mengganggu fokus penonton sehingga persembahan berakhir.

Banyak yang dibicarakan G-Dragon terutama perasaannya menjadi selebriti. Tumpuan yang diberikan penonton terhadapnya jelas membuatkan perasaannya tersentuh.

“Siapa saya? Saya pun tidak pasti. Saya manusia biasa yang ada ketikanya rasa sunyi dan terpencil,” katanya.

Pada saat mengungkapkan kata-kata itu, dia seakan-akan mahu meluahkan banyak lagi isi hatinya. Namun dia kembali berbicara mengenai perjalanan hidupnya sebagai anak seni.

Dia turut membicarakan perihal BIGBANG dan mahu peminat tahu yang kumpulan itu masih teguh berdiri dan akan terus mewarnai dunia muzik.

“BIGBANG akan kembali dengan beberapa projek. Saya mahu peminat terus setia menyokong kami.

“Terima kasih kerana merealisasikan impian saya untuk berada di sini. Saya bersyukur atas segalanya,” katanya.

Lincah dan menawan, G-Dragon menyanyikan hampir semua lagu hit termasuk koleksi album terbarunya.

G-Dragon mempersembahkan Heartbreaker, Breathe, A Boy, But I Love You, Obsession, Michigo, One Of A Kind, That XX, Black, Missing You, Who You, I Love It, Today dan Crayon.

Tidak ketinggalan, lagu Superstar, Middle Fingers Up, Bullshit, Divina Commedia, This Love, Crooked dan Untitled.

Dia turut menampilkan bekas anggota 2NE1 iaitu Dara sebagai artis jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 2:26 AM