DARI kiri Nasir, Zaidi, Syukri dan Eman berlakon dalam The Berlian Job.
ELIZABETH menunjukkan lakonan yang baik dalam cerita ini.
RASHID (belakang dua dari kiri) bersama barisan pelakon The Berlian Job.
Ridzuan Abdul Rahman


Rashid Sibir terkenal dengan jolokan pengarah air mata kerana sering menampilkan drama kemasyarakatan yang menyentuh hati dan penuh pengajaran.

Bagaimanapun, pengarah berpengalaman ini membuktikan dirinya seorang yang versatil apabila menghasilkan telefilem genre aksi berjudul The Berlian Job.

Ternyata telefilem yang disiarkan menerusi slot Karya 12 Astro Citra Sabtu lalu mendapat rating tontonan tinggi dan pujian penonton.

Rashid berkata, The Berlian Job berbeza daripada kebiasaan karya arahannya kerana menampilkan kelainan aspek penceritaan, suntingan dan karakter pelakon.

“Menariknya dalam cerita ini, saya masih mengekalkan pelakon yang biasa bekerja dengan Opera Klasik Sdn Bhd iaitu Eman Manan, Zaidi Omar dan Nasir Bilal Khan namun karakter mereka diubah serta diwarnakan sesuai dengan naratif The Berlian Job.

“Bayangkan Eman dan Nasir walaupun berusia, mereka masih mampu melakonkan aksi lasak. Eman menjayakan babak turun dari bumbung menggunakan tali,” katanya.

Menurut Rashid, ada juga babak pertarungan yang turut membabitkan Syukri Hashim dan Zaidi Omar.

Selain pelakon lama, Rashid tidak ketinggalan mengetengahkan Shukri Yahya dan Elizabeth Tan sebagai daya tarikan seterusnya memantapkan lagi drama itu.

“Saya mahu kemunculan mereka ada impak dan nampaknya ia jadi kenyataan apabila mereka antara kunci penggerak telefilem ini.

“Saya dapati penonton boleh terima The Berlian Job kerana ada aksi pertarungan, drift dan pelbagai elemen terkini. Saya juga menyediakan koreografer khas untuk babak pertarungan bagi mengelak sebarang risiko kecederaan atau kejadian tak diingini,” katanya.

The Berlian Job menampilkan Eman sebagai J, Nasir (D), Zaidi (Datuk Zahid), Syukri (Syam) dan Elizabeth (Datin Mona).

Eman dan Nasir adalah pendokong utama cerita ini. Mereka diupah Syam untuk mencuri Red Diamod milik bapanya, Datuk Zahid.

Red Diamond bernilai RM10 juta itu adalah untuk isteri Datuk Zahid iaitu Mona. Apabila mereka berjaya melaksanakan tugasan itu, Syam mendapati Red Diamond itu palsu.

Syam menuduh J dan D mencuri Red Diamond tetapi mereka menafikannya. Cerita kemudian dikembangkan menjadi konflik yang menarik.

“Saya amat gembira dan puas hati apabila setiap pelakon memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang 12 hari penggambaran.

“Bekerja dengan pelakon otai memang tiada masalah kerana komitmen yang diperlihatkan sangat bagus,” katanya.

Tidak ketinggalan, pujian turut diberikan terhadap Syukri dan Elizabeth kerana memberikan lakonan terbaik.

“Sebenarnya ini adalah telefilem aksi ketiga arahan saya. Cuma The Berlian Job ada lebih aksi selain konsep ceritanya seakan-akan filem James Bond.

“Saya akan terus menghasikan cerita sebegini tapi bukanlah mengikut acuan mana-mana pihak kerana ia genre aksi cara saya,” katanya yang mahu peminat menonton telefilem itu apabila di ulang siar di Astro Citra nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 2:53 AM