Skip this ad x
FAZURA berbual dengan Selena.
Ardini Sophia Sina


Pada usia 34 tahun, Fazura Sharifuddin dilihat memiliki kejayaan yang menjadi idaman setiap individu.

Kecantikannya dicemburui wanita, kerjaya seninya sama ada lakonan dan nyanyian juga mendapat sambutan.

Baru-baru ini, Fazura juga berpeluang ke New York, Amerika Syarikat menghadiri Minggu Fesyen New York. Katanya, dia berbesar hati dengan pelawaan itu dan teruja kerana dapat melihat rekaan busana di pentas peragaan berkenaan.

Dia juga berpeluang bertemu dengan penyanyi antarabangsa Selena Gomez.

Katanya, walaupun pertemuan itu singkat, ia sangat bermakna buatnya.

“Pertemuan kami diaturkan pihak Coach. Selena adalah jurucakap bagi jenama itu untuk peringkat antarabangsa. Saya pula datang untuk Minggu Fesyen New York.

“Mereka memanggil saya untuk mengambil gambar bersama Selena Gomez dan kemudian saling bertanya khabar. Pertemuan kami sangat singkat kerana dia mempunyai sesi fotografi selepas itu,” katanya.

Mula dikenali menerusi filem Gol dan Gincu, Fazura baru saja selesai menjalani penggambaran filem Ayat-Ayat Cinta 2 arahan Guntur Soehardjanto di Edinburgh, Scotland.

Tayangan perdana filem itu di Jakarta bakal diadakan pada Disember nanti. Fazura juga akan memulakan penggambaran filem baru dengan Bernard Chauly.

Selain kerjaya seninya makin kukuh, Fazura juga mempunyai perniagaan sendiri dan sering dipilih menjadi duta produk jenama terkemuka.

Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin bersyukur kerana diizinkan untuk menikmati keberhasilan titik peluhnya.

Dia berharap agar terus berpeluang untuk bekerja lebih keras dan melaksanakan program yang sudah dirancang sepanjang tahun hadapan.

“Mungkin orang sekeliling melihat pekerjaan saya sebagai ‘high profile’ tetapi saya hanyalah orang biasa sama seperti yang lain.

“Saya berharap dapat bekerja lebih giat sebab saya suka bekerja. Ada banyak perancangan untuk tahun hadapan dan saya berharap ia akan berjalan lancar.

“Terima kasih kerana keluarga, rakan-rakan dan peminat sentiasa memberikan sokongan,” katanya.

Muncul dengan dua produk kecantikan bawah jenama Trudolly, Fazura gembira kerana berpeluang berkongsi rahsia kesihatan tubuh dan kulitnya bersama umum.

Awalnya, dia tidak terfikir untuk menghasilkan produk sendiri, namun impak daripada perbualan kosong dengan Puteri Intan Zarith Che Rashdi akhirnya berubah menjadi serius.

Katanya, dia terlebih dulu mencuba makanan tambahan dalam tempoh beberapa bulan bagi melihat sendiri keberkesanan sebelum melancarkannya di pasaran.

“Perkara itu menjadi serius selepas dicadangkan oleh Puteri untuk gabungkan semua makanan yang saya amalkan dan jadikan satu tablet yang memudahkan semua orang.

“Memang ramai yang tanya macam mana saya jaga kulit dan jaga badan. Saya katakan minum teh hijau dan lemon untuk detoks tetapi segelintir orang mungkin rasa ia leceh sebab kena cari dan bancuh pula.

“Saya cuba sendiri kerana ingin tahu sama ada ia benar-benar berkesan dan bimbang akan menyebabkan alergik.

“Walaupun ia daripada tumbuhan semula jadi, masih ada rasa risau campuran itu akan menyebabkan kesan yang tidak baik. Bagaimanapun, syukur semuanya okey,” katanya.

Walaupun sibuk dengan karier lakonan dan nyanyian, Fazura masih komited mempromosikan Trudolly dengan hadir ke beberapa negeri serta bertemu peminat di Singapura bagi memperkenalkan produk berkenaan.

Turut menjadi duta produk Maydan, Fazura yakin peminat tidak akan keliru antara dua produk yang terbabit kerana Maydan adalah untuk rambut, manakala Trudolly khasiat tambahan.

“Saya rasa dua produk itu tidak akan menimbulkan kekeliruan pada peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 2:34 AM