SHAHIR ketika menyertai AF Megastar. FOTO Arkib NSTP
SHAHIR ketika menyertai AF Megastar. FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


JUARA Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir menafikan dia berselisih faham dengan syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd apabila tidak lagi diuruskan syarikat itu.

Shahir yang kini menyertai program realiti AF Megastar berkata, dia tidak menandatangani sebarang kontrak dengan Indigital dan mereka cuma membantunya sejak dia menyertai AF Megastar.

"Sebenarnya saya mempunyai pasukan kerja sendiri dan pembabitan Indigital hanya membantu supaya persembahan saya setiap minggu dalam program itu berjalan lancar," katanya.

Soal dia tidak mengenang jasa juga tidak harus ditimbulkan atas alasan apa yang dilakukan wakil syarikat rakaman terbabit adalah atas semangat setia kawan.

“Perkara ini tidak seharusnya ditimbulkan kerana tiada perjanjian khusus dibuat di antara saya dengan Indigital,” katanya.

Dalam masa sama, ada pihak mendakwa pembabitan Indigital menguruskan Shahir adalah atas saranan teman baiknya Erra Fazira.

“Hubungan saya dengan Erra Fazira juga baik dan tiada perselisihan faham di antara kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 3:15 PM