PERSEMBAHAN daripada kumpulan Metalzonn.
GAYA tersendiri Mael di atas pentas.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Usah dibandingkan kumpulan rock XPDC yang dibarisi Mael, Zua, Amy dan Jeff dengan satu lagi XPDC yang menampilkan Ali, Izo, Eddie serta Lola kerana masing-masing mempunyai keistimewaan sendiri.

Peminat fanatik kumpulan heavy metal ini tidak menjadikan ia satu isu besar kerana mereka tetap boleh ‘layan’ rangkaian lagu yang didendangkan oleh dua XPDC ini ketika beraksi di mana-mana persembahan.

Inilah yang berlaku apabila kumpulan yang pernah bergelar ‘raja funfair’ ini turun padang menjayakan Konsert Rockstage II di Stadium MABA (Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia), Kuala Lumpur, hujung minggu lalu.

Kehadiran 1,500 peminat menyaksikan konsert yang turut menampilkan kumpulan FTG dianggap sudah memadai pada ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

Paling ketara, mereka seakan-akan ghairah untuk mengulangi nostalgia melihat barisan anggota asal XPDC (kecuali Izo) beraksi seperti era kegemilangan konsert terdahulu.

Aura Mael dan rakannya masih kuat dan ini dapat dilihat menerusi reaksi peminat yang rata-rata hadir mengenakan kemeja-T tertera wajah mereka.

Paling ketara, peminat yang hadir boleh dikatakan seusia perjalanan seni XPDC dan ada yang turut membawa anak yang sudah meningkat dewasa menonton konsert ini.

Sekitar jam 9.30 malam, keresahan peminat menanti kelibat Mael terubat apabila dia tampil membuka pentas Rockstage II dengan lagu Kabus Semalam.

Tanpa menunggu lama, dia terus menghangatkan suasana apabila mendendangkan rangkaian lagu popular XPDC antaranya Ntahapahantah, Hidup Bersama, medley Hentian Ini, Hijau Bumi Tuhan, Aku Dan Sesuatu, Selendang Merdeka, Bahalol, Raja Kertas dan Senapang Patah.

Gabungan lagu perlahan dan rancak ini sememangnya mengundang keseronokan buat yang hadir kerana ada ketikanya mereka turut sama menyanyi dan apabila lagu rancak dimainkan, mereka terus menggoyangkan kepala seperti lazimnya dilakukan.

Semua anggota XPDC nampak hebat beraksi pada posisi masing-masing, manakala Mael juga bijak berkomunikasi dengan peminatnya.

Kelainan turut dilakukan kali ini apabila Mael menampilkan anaknya, Affil sebagai penyanyi pengiring persembahannya.

Selepas persembahan XPDC berakhir, FTG mengambil alih pentas menghiburkan peminat dengan lagu popular mereka antaranya Behind This Wall, Anak Tiri, Malaysia Maju dan 60 Days In Hell.

Peminat tidak berganjak menyaksikan persembahan mereka sehingga konsert melabuhkan tirai.

Terdahulu, pentas Rockstage II dibuka dengan persembahan Metalzonn menerusi lagu Into The Pit, Zone Metal dan Master of Puppets.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:33 AM