Hafiz mahu uji vokal Bob (kanan). FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Norhayati Nordin


“Lagu Terbuang Dalam Pelukan saya hasilkan pada 2011 dan ia tiada kena mengena dengan kisah peribadi saya,” kata penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, 33, mengenai lagu yang dinyanyikan Bob Yusof di pentas akhir AF Megastar, semalam.

Hafiz menganggap ia secara kebetulan karana melodi dan lirik lagu Terbuang Dalam Pelukan memang sudah disiapkan sepenuhnya pada 2011 lalu.

Katanya, liriknya yang ditulis oleh Bob juga dihasilkan waktu itu.

"Ketika saya menghasilkan melodi lagu ini sejujurnya ia hanya untuk suka-suka saja selain eksperimen saya nak menguji sejauh mana kemantapan vokal Bob.

"Ternyata Bob seorang penyanyi yang bagus kerana dia mampu mempersembahkan lagu ini dengan baik. Malah, saya amat puas hati dengan persembahan Bob," katanya.

Menurut Hafiz, dia juga tidak menduga penulisan lirik lagu Terbuang Dalam Pelukan yang ditulis oleh Bob agak dramatik.

"Selepas saya menyiapkan melodi lagu ini memang Bob yang meminta untuk dia menulis liriknya. Sebagai komposer, saya tiada masalah untuk memberi kebenaran.

"Cuma, apabila lagu ini siap dirakam sepenuhnya baru saya terfikir mahu meletakkan judulnya Terbuang Dalam Pelukan dan Bob turut setuju," katanya.

Hafiz berkata, meskipun Bob tewas di pentas akhir AF Megastar itu, dia tidak kecewa kerana yang paling utama lagu Terbuang Dalam Pelukan dilihat diterima baik pendengar.

"Dengan bakat dan keupayaan dimiliki Bob, saya sangat gembira kerana dia (Bob) berjaya membuktikan kemampuan dirinya yang sebenar.

"Justeru, saya berharap masyarakat dan pendengar muzik di negara ini membuka mata untuk membuat penilaian dengan mengutamakan bakat berbanding memandang pada pakej personaliti seseorang penyanyi," katanya.

Apa pun, Hafiz enggan mengulas mengenai kisah peribadinya yang masih hangat diperkatakan.

Dia berharap segala urusan penyelesaian diambil berjalan lancar.

Paling utama bagi dirinya selepas kes rumah tangganya selesai ialah memberi fokus pada karier seni dan bidang perniagaan diceburi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 2:35 PM