SHARUL mahu terus cipta nama dalam industri muzik. FOTO Arkib NSTP.
SHARUL mahu terus cipta nama dalam industri muzik. FOTO Arkib NSTP.
Najiy Jefri


PENYANYI Sharul Kamal tidak pernah cemburu melihat rakan seangkatannya dalam Akademi Fantasia 2015, Syamel dan Sufi Rashid yang memburu populariti sejak menyertai program AF Megastar.

Sharul berkata, dia percaya dengan aturan Tuhan dan menganggap ia sebagai persaingan sihat untuk mencipta nama dalam industri muzik.

“Tidak timbul soal iri hati jika Syamel atau Sufi lebih popular. Saya percaya masa saya juga akan tiba sekiranya tidak berputus asa untuk menempatkan diri dalam bidang ini.

"Lagipun buat apa saya nak cemburu sedangkan mereka adalah sahabat saya yang banyak membantu ketika susah dan senang. Kami banyak berkongsi pendapat dan rezeki bersama," katanya.

Menurut Sharul, dia berharap dengan pertaruhannya dalam single terbaru berjudul Racun Rindu dapat mengukuhkan namanya dalam industri hiburan.

"Saya berharap single ciptaan Aepul Roza ini dapat diterima ramai. Alhamdulillah, selepas hampir sebulan dimuat naik di YouTube ia mencatat hampir 110,000 tontonan.

"Saya meletakkan sepenuh hati terhadap lagu ini. Saya tidak mahu sia-siakan peluang yang diberikan ini. Saya berharap lagu ini menjadi titik permulaan untuk saya kembali bangkit mengejar impian," katanya.

Terdahulu, timbul gosip mengatakan penyanyi berusia 20 tahun itu cemburu melihat kejayaan rakan seangkantannya semakin menempa nama dalam industri seni nyanyian.

Dia juga dikatakan semakin menjauhkan diri apabila tidak lagi berjumpa dengan rakan-rakannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 5:44 PM