JANNA sakit sejak seminggu lalu. FOTO Arkib NSTP & Afeeq Abd Wahab.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Janna Nick dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, pagi semalam akibat mycoplasma pneumoniae atau jangkitan paru-paru.

Pengurusnya, Afeeq Abd Wahab berkata, pelakon itu mengalami demam dan batuk berpanjangan sejak seminggu lalu hingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

"Buat masa sekarang, Janna tidak boleh menerima pelawat. Dia kini dalam pemantauan doktor dan perlu berehat sehingga keadaannya kembali pulih.

"Janna mungkin akan dirawat dalam tempoh seminggu. Jadi, saya terpaksa membatalkan semua aktiviti seni membabitkan Janna. Saya memohon maaf kepada semua pihak dan penganjur yang menempah Janna serta sudah dipersetujui lebih awal," katanya kepada Harian Metro.

Afeeq berkata, keadaan Janna itu juga memaksa pihaknya membatalkan kemunculan Janna sebagai pengacara sebuah program 20 minit sebelum ia bermula, semalam.

Menurut Afeeq, Janna turut menyampaikan salam dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat mengenai dirinya dan mengharapkan doa supaya dia kembali sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 3:34 PM