Noryati ceria bersama jururawat hospital HSI. FOTO OMAR AHMAD
Noryati ceria bersama jururawat hospital HSI. FOTO OMAR AHMAD

SELEPAS hampir dua bulan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru akibat jangkitan kuman dalam paru-paru dan diabetes, pelakon drama, Noryati Taib atau lebih dikenali sebagai 'Makcik Petir' dibenarkan pulang Isnin lalu.

Anaknya Faizul Hafiz Hashim, 32 berkata, biarpun sudah dibenarkan keluar namun keadaan kesihatan ibunya masih belum baik sepenuhnya dan perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital berkenaan.

"Alhamdulillah kami bersyukur ibu sudah dibenarkan keluar hospital selepas hampir dua bulan mendapatkan rawatan di HSI.

"Keadaan dia lebih baik tetapi masih lemah sedikit dan memerlukan masa serta ruang untuk berehat. Dia masih boleh tersenyum tetapi tidak seceria dahulu sebab masih belum sihat sepenuhnya.

"Kami berterima kasih kepada ahli keluarga, kakitangan hospital dan peminat yang sentiasa mendoakan kesihatan ibu saya. Kami juga tidak mahu peminat dan kenalan dia terlalu risau dengan keadaannya," katanya ketika dihubungi.

Menurut Faizul Hafiz, ibunya akan terus bergiat dalam bidang seni itu selepas kesihatannya mengizinkan sepenuhnya.

Malah katanya, sepupu yang juga pengarah dan penerbit drama, Shahrulezad Mohameddin ada menghubungi dan akan memberi watak sesuai dengan keadaan kesihatan ibunya.

"Soal bila ibu boleh berlakon semula bergantung kepada kesihatannya dan saya yakin sekiranya dia berlakon, ia akan menaikkan semangat dia untuk meneruskan kariernya," katanya.

Sebelum ini, Noryati menjalani pembedahan akibat komplikasi diabetes dan dibenarkan keluar hospital namun pelakon itu mengalami sesak nafas sehari kemudian hingga keadaannya kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI pada 24 September lalu.

Noryati terkenal dengan gelaran Makcik Petir, Makcik Isabella dan Makcik Mary dalam drama lakonannya seperti Sindarela, SyurgaMu Ramadan, Dotty, Tari Tirana dan banyak lagi.

Noryati yang mula berlakon dalam drama Abang Mak Panggil Balik kerap berlakon dalam drama terbitan Radiusone Sdn Bhd milik Shahrulezad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 12:46 PM