Mawar selamat diijabkabulkan dengan Raf Yaakob. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Mawar Rashid, 22, sah bergelar isteri kepada Raf Yaakob atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob, 32, dengan sekali lafaz 3.20 petang hari ini.

Pasangan itu disatukan jurunikah yang juga Imam Masjid Saidina Abu As-Siddiq, Bangsar, Mohamad Azri Ahmad Kamil dengan mas kahwin sebanyak RM900 di majlis akad nikah yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Di majlis bertemakan tradisional Jawa itu, Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid memberikan sembilan dulang hantaran kepada pihak pengantin lelaki dan dibalas dengan tujuh dulang.

Majlis akad nikah itu juga dimeriahkan dengan kehadiran 500 tetamu terdiri daripada saudara-mara, rakan artis dan media.

Majlis pertunangan diadakan pada 7 Julai lalu selepas melalui dua majlis kecil iaitu merisik dan melamar pada 7 Mei dan 7 Jun lalu.

Semalam, di lokasi sama berlangsungnya majlis berinai yang dihadiri keluarga terdekat kedua-dua pihak serta rakan artis antaranya Emma Maembong dan Datin Eina Azman.

Ini adalah perkahwinan pertama Mawar manakala perkahwinan kedua buat Raf yang sebelum ini dikurniakan dua cahaya mata daripada perkahwinan pertamanya.

Raf juga adalah adik kepada penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 4:07 PM