Hannah aktif sebagai penyanyi dan pelakon. FOTO AIZUDDIN SAAD
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAKON kelahiran Singapura, Hannah Delisha mengakui lebih selesa memilih untuk berdiam diri mengenai netizen yang mempertikaikan keputusannya untuk menyanyi pula.

Tampil dengan single baru berjudul Esok Masih Ada, ramai mempersoalkan keputusannya itu memandangkan dia sendiri baru setahun jagung dalam bidang lakonan.

Namun Hannah, 21, ingin menjelaskan bahawa dia sendiri memang bermula sebagai penyanyi dan pernah hasilkan dua single sebelum ini berjudul Rentak dan Anugerah.

“Saya memang penyanyi dan sebenarnya sudah mula serius menyanyi sejak tiga tahun lalu. Namun tidak ramai tahu kerana saya lebih dikenali sebagai pelakon di sini.

“Tidak dinafikan ramai juga yang kecam dan mempertikaikan nyanyian saya sejak muzik video Esok Masih Ada dimuat naik di YouTube. Syukur ada peminat yang tahu mempertahankan saya dan tolong menjelaskan bahawa saya memang penyanyi.

“Namun saya sendiri tidak mahu balas komen atau kecoh-kecoh terhadap komen mereka supaya hal itu tidak diperbesarkan. Alhamdulillah, sambutan terhadap lagu itu sangat memberangsangkan dan sudah mencecah tontonan lebih 1 juta,” katanya.

Hannah dilamar label Alibi Music menjadi artis naungan pada 2014 lalu dan aktif sebagai penyanyi serta pelakon di negara kelahirannya.

Tahun ini, pelakon berkenaan mendapat perhatian dan mula popular apabila membintangi siri kegilaan Mencintaimu Mr Photographer.

Dia bergandingan dengan Syafiq Kyle sebagai watak utama siri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 4:19 PM