Farid tak boleh tidur malam beberapa hari. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Farid tak boleh tidur malam beberapa hari. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Ramlah Zainal


PELAKON popular Farid Kamil mendakwa dirinya mengalami kecederaan serius ketika menjalani penggambaran projek drama bersiri akibat kecuaian pihak produksi menyediakan aspek keselamatan di lokasi.

Menurut Farid, kecederaan itu dialami ketika menjayakan penggambaran babak hujan bersama seorang lagi pelakon, Nelydia Senrose.

"Kaki saya sakit, lebam-lebam seperti kena gigitan. Malah, hampir tidak boleh berjalan akibat terkena hujan dipercayai kotor dan mengandungi toksik.

"Saya juga tidak boleh memakai seluar dan tidak boleh tidur malam selama beberapa hari kerana menahan sakit selepas kejadian itu minggu lalu.

"Nelydia pula mendapat gatal-gatal di separuh bahagian badannya," katanya.

Farid ditemui pada majlis pelancaran Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia di Hotel Royale Chulan Damansara di sini, hari ini.

Farid berkata, dia diberikan cuti sakit selama 10 hari selepas berjumpa doktor.

"Selepas mendapat rawatan, keadaan beransur pulih dan saya sudah boleh memakai seluar panjang.

"Saya tetap akan kembali ke lokasi untuk menghabiskan baki penggambaran drama itu seperti terikat dalam kontrak," katanya.

Kata Farid, dia memandang serius perkara itu terutama membabitkan aspek keselamatan barisan pelakon dan kru di lokasi.

"Isu ini membabitkan soal hidup dan mati golongan artis seperti kami. Saya merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit nanti.

"Jika saya tidak mengambil tindakan tegas kecuaian ini boleh menimpa pelakon lain pula nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 7:32 PM