Ejen Ali bersama kanak-kanak dari Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang. FOTO Khairull Azry Bidin.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


SERAMAI 30 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang, Rawang menerima sumbangan dari Tonton dan Big Bad Wolf (BBW) sempena sesi ramah mesra bersama maskot Ejen Ali di The Big Bad Wolf Book Fair 2017, petang tadi.

Pengarah Tonton dan Perlesenan & Perdagangan, Airin Zainul berkata, acara itu sebahagian daripada program tanggungjawab sosial Kembali Ke Sekolah anjuran Tonton yang dilancarkan bulan lalu.

“Program ini bertujuan untuk membantu persekolahan tahun hadapan. Harap sumbangan ini dapat mengurangkan beban kanak-kanak daripada pusat jagaan ini.

“Terima kasih kepada BBW yang bermurah hati menyumbang dan menyokong acara amal ini.

“Dalam masa sama, sesi ramah mesra ini juga sebahagian daripada program Misi: Big Bad Wolf bertujuan untuk menggalakkan hobi membaca di kalangan kanak-kanak,” katanya.

Sumbangan diberi berupa bahan bacaan baru daripada BBW terdiri daripada 4.5 juta buku dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Tidak ketinggalan sumbangan berbentuk kembali ke sekolah daripada pihak Ejen Ali bagi memenuhi persiapan barangan sekolah.

Pesta buku anjuran BBW turut menampilkan misi menarik dan cabaran dari MATA HQ serta beberapa aktiviti yang dibawakan khas oleh Ejen Ali.

Antaranya bacaan secara langsung oleh pelakon suara Ejen Ali, sesi ramah mesra bersama maskot Ejen Ali, pertandingan mewarna dan kuiz Ejen Ali serta ‘Bonus Hour’ bagi barangan Ejen Ali.

Kata Airin, misi anjuran BBW ini adalah kolaborasi pertama Ejen Ali bersama Big Bad Wolf Book Fair.

“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi masa akan datang.

“Dalam masa sama, saya ingin uarkan siri animasi ini boleh didapati secara percuma di aplikasi Tonton.

“Pengguna yang mendaftar dialukan untuk menonton siri yang bersiaran untuk dua musim di TV3,” katanya.

Pelakon Niena Baharun turut hadir sebagai sokongan dalam menjayakan program amal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 5:17 PM