Nadzmi Adhwa ketika sidang media kes tangkapannya. FOTO Supian Ahmad.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


“SAYA terperangkap kerana tidak tahu dia sudah lama dalam pemerhatian polis,” kata pelakon Nadzmi Adhwa, 25, ketika sidang media, petang tadi.

Katanya, dia sudah lama tidak bertemu rakan dikenali sejak di sekolah yang mengajaknya keluar minum pada malam kejadian.

“Malam itu kami bertiga menunggu wakil pengurusan yang mahu menyerahkan Al-Quran kepada saya.

“Tiba-tiba polis datang dan menahan kami. Saya rasa bersalah terhadap keluarga kerana adik turut ditahan.

“Saya hanya ditahan reman untuk membantu siasatan dan tidak sampai 24 jam dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Pada 3 November lalu, jam 1.30 pagi, pelakon drama Cinta Roller Coaster itu bersama adik lelakinya dan seorang rakan ditahan selepas polis menemui ganja dalam kereta dinaiki di Taman Setiawangsa.

Kata Nadzmi, sepanjang hidupnya dia tidak pernah terbabit dengan perkara seperti itu.

Katanya, selepas kejadian itu keluarganya menetapkan dia berada di rumah sebelum 10 malam jika tiada urusan kerja.

“Bapa menghantar dan mengambil saya dari kerja ketika penggambaran program RTM baru-baru ini.

“Kejadian itu tidak dijangka dan saya berada di waktu dan tempat yang salah,” katanya.

Nadzmi berkata, kes terbabit menyebabkan dia dan syarikat pengurusannya kerugian RM80,000.

“Saya minta maaf kepada semua atas kesilapan saya. Selepas ini, saya janji masalah seperti ini tidak akan berulang. Harap saya diberi peluang kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 7:02 PM