Anne bersama Rosnah Johari dan Amyza Aznan.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Anne Abdullah, 45, berang dengan sikap remaja lelaki yang meninggalkan komen berbaur lucah pada gambar yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.

Anne berkata, komen menyentuh sensitiviti kaum wanita itu dianggap biadab dan keterlaluan.

“Ini pertama kali saya terima komen begitu. Memang terkejut dibuatnya apatah lagi ditulis remaja Melayu. Saya menyifatkan ia sangat kurang ajar.

“Sejujurnya, saya geli dengan apa yang ditulis. Mungkin budak ini ada masalah dan ‘sakit’. Pun begitu, saya mengambil pendekatan untuk tidak membalas komen itu,” katanya kepada Harian Metro.

Anne yang juga pelakon drama Lara Aishah berkata, tindakannya memuat naik komen remaja itu sebagai satu bentuk peringatan kepada semua pengikutnya di laman sosial.

Malah Anne mencabar remaja itu tampil dan bersemuka dengannya.

“Budak seperti ini perlu diajar supaya lebih beradab dan hormat orang. Saya perasan kebanyakan pengguna laman sosial terutama golongan remaja sekarang suka buat perkara di luar kotak fikiran.

“Saya mahu berdepan dengannya dan mahu dia buat permohonan maaf terbuka. Mungkin dia tak sedar tindakan itu memalukan saya,” katanya.

Dalam masa sama, Anne menafikan penampilannya seksi sehingga membuatkan remaja itu menulis komen begitu.

“Dia komen pada gambar lama yang dimuat naik Julai lalu. Apabila dia baru komen, gambar berkenaan dikemaskini semula. Semua pengikut saya boleh tengok komen itu.

“Saya tidak nampak apa yang seksi pada gambar ini sehingga membuatkan dia komen keterlaluan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 3:13 PM