10 kontroversi paling mendapat perhatian sepanjang 2017.
10 kontroversi paling mendapat perhatian sepanjang 2017.
Najiy Jefri


Menyingkap tabir dunia hiburan 2017, kisah panas lagi sensasi tidak putus-putus disiarkan di dada akhbar dan portal.

Sehinggakan kontroversi yang dibangkitkan itu kadangkala boleh merimaskan sesiapa sahaja yang menulis mahupun yang membacanya.

Ada saja perilaku segelintir penggiat seni yang boleh membuatkan umum berasa jelik.

Hakikatnya, sikap dan tindakan segelintir artis ini sedikit sebanyak membuatkan imej mereka tercalar dan dikecam pelbagai pihak.

Percaya atau tidak, dengan pendedahan ini, ia menjadi iktibar buat semua bukan saja empunya badan yang mencetuskan kontroversi itu bahkan insan seni lain supaya lebih berhati-hati.

Sebelum 2017 melabuhkan tirai, RAP menyenaraikan 10 kontroversi yang paling mendapat perhatian sepanjang tahun ini.

Aliff Pukul Bella

Setiap manusia tidak terlepas melakukan kesilapan, begitu juga penyanyi dan pelakon kontroversi, Aliff Aziz, 26.

Julai lalu, Aliff terpalit dengan kontroversi membabitkan pelakon baru, Afifah Nasir sehingga rumah tangga yang dibina bersama Bella Astilah, 23, bergolak teruk.

Ia bermula pada 28 Julai lalu apabila berita mengenai Aliff ditahan polis selepas isterinya, Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah membuat laporan dikasari suaminya di kelab karaoke di Taman Shamelin, Cheras pada 27 Julai.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Bella yang baru berpantang 20 hari dikatakan mencari Aliff dan mendapati suaminya itu ada bersama seorang wanita didakwa Afifah. Berlaku perbalahan dan pergelutan sehingga muka Bella berdarah serta kakinya cedera.

Tambah menghangatkan lagi isu ini apabila kakak Afifah yang juga pelakon Anzalna Nasir mengeluarkan kenyataan di laman sosial seolah-olah mempertahankan adiknya dengan mengatakan perempuan lepas bersalin lain sikit perangai atau dengan kata lain meroyan.

Bagaimanapun, Aliff dan Bella bertindak pantas mengadakan sidang media pada 31 Julai. Aliff memohon maaf mengakui kesalahannya keluar dengan wanita lain tanpa pengetahuan isteri dan Bella memaafkan suaminya kerana memikirkan anak dan masa depan mereka.

Pada 7 Ogos, Afifah mengadakan sidang media di pejabat peguamnya di Solaris Dutamas. Afifah mendakwa dianiaya pihak produksi berikutan usaha mereka mahu memujuk Aliff menyebabkan dirinya terheret dalam kontroversi terbabit. Afifah mengakui langsung tidak menyimpan perasaan terhadap Aliff, jauh sekali mahu merosakkan rumah tangga pelakon itu.

Keesokannya, Aliff mempersoalkan tindakan Afifah membabitkan syarikat produksi dalam kontroversi itu, terutama dakwaan kononnya Afifah diminta melayan kerenahnya bagi melancarkan penggambaran.

Pada 10 Ogos, pengarah drama terbabit, Manchi menafikan dakwaan Afifah kononnya produksi mempergunakan dirinya.

Boy Iman direman enam kali

Pengarah Urusan DBI Properties Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman direman enam kali bagi membantu siasatan membabitkan penipuan jualan rumah berjumlah RM6.2 juta.

Siasatan dijalankan polis susulan penipuan jualan rumah didakwa dilakukan DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources yang turut membabitkan mangsa di Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Selangor.

Boy Iman ditahan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang pada 2 Oktober lalu. Dia turut direman sebelum ini di Ampang dan Shah Alam di Selangor; Muar (Johor); Sungai Petani dan Kubang Pasu (Kedah) serta Kangar (Perlis).

Sebelum ini, polis menerima 210 laporan berkaitan penipuan jualan rumah dilakukan dua syarikat termasuk DBI Properties.

Syarikat berkenaan didakwa menawarkan harga rumah jauh lebih rendah daripada pasaran kepada pembeli iaitu RM60,000 bagi banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.

Hafiz, Joy cerai

Selepas dilanda pelbagai kontroversi , penyanyi Hafiz Hamidun, 33, dan usahawan kosmetik Siti Arifah Mohd Amin, 30, atau Joy Revfa akhirnya sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Oktober lalu.

Pada Ogos lalu, pasangan ini berdepan konflik apabila tidak lagi tinggal sebumbung selain berbalas komen di Instagram masing-masing.

Pasangan yang bernikah pada 1 Mei lalu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam itu turut didakwa tidak pernah dilihat datang bersama dalam sebarang majlis.

Pada 12 Oktober lalu, Hafiz yang diwakili peguam syarie Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan cerai di mahkamah.

Tidak wujud persefahaman antara mereka antara alasan diberikan Hafiz selain mendakwa Joy Revfa sering mengaibkan namanya di media sosial. Hafiz turut mendakwa wanita itu melawan dan mengingkari segala suruhannya sebagai suami.

Rita pengacau rumah tangga?

Nama Rita Rudaini, 41, tiba-tiba panas apabila dia dikatakan mengganggu rumah tangga pelakon Aqasha dan isterinya, Baizura Sabri.

Pendedahan terbabit dibuat isteri Aqasha sendiri yang berkongsi paparan skrin perbualan mesra suaminya dengan seorang aktres didakwa Rita menerusi Instagramnya pada awal Mac lalu.

Bagaimanapun, Aqasha menegaskan mahligai cinta yang dibina sejak tujuh tahun lalu bersama Baizura baik-baik saja. Dia turut menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya rumah tangganya bergolak.

Aqasha menegaskan hubungannya dengan Rita hanya berlandaskan persahabatan dan mereka profesional ketika bekerja.

Izreen isteri kedua

Ini satu lagi kisah panas yang menjadi buah mulut ramai apabila pemuzik Mohd Radzi Abdul Wahid atau Ude akhirnya mengakui sudah bernikah dengan pelakon Izreen Azminda.

Ude turut mengaku wanita yang tampil membuat pengakuan itu adalah isteri pertamanya, Intan Liana.

Ude yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga menyunting Izreen sebagai isterinya pada 8 Ogos lalu. Dia turut menafikan perkahwinannya dengan Intan berdepan masalah selepas menikahi Izreen.

Sejak pengumuman itu dibuat, Izreen dan Ude dihentam teruk di Internet. Pasangan ini memohon semua pihak terutama media agar tidak mengganggu privasi keluarga mereka.

Ude mempunyai dua anak berumur 3 tahun dan 11 bulan bersama Intan.

Gosip mengenai perkahwinan Izreen dengan Ude mula diperkatakan apabila Izreen meletakkan namanya sebagai Mrs Ude dalam Instagramnya.

Fathia Latiff isu ‘cashless’

Nama aktres jelita ini panas dengan aksinya menari dalam keadaan seksi sehingga memperlihatkan sebahagian payudara di aplikasi Bigo. Kemudian dia dikritik kerana mencemuh kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dengan mendakwa cadangan menjadikan Malaysia negara ‘cashless’ akan menjadikan negara seperti zaman batu yang menggunakan sistem barter.

Enggan mengakui kesilapan, Fathia berkata, dia sengaja mengeluarkan kenyataan “Saya tak bodoh. Saya sedar dan faham maksud tajuk berita itu cuma saya sengaja Tweet dalam bentuk sarkastik.”

Pelakon drama Ariana Rose itu ‘buat hal’ sekali lagi apabila mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak membuat lawatan ke Pulau Pinang sewaktu tragedi banjir baru-baru ini. Tweet yang dimuat naik Fathia sehari selepas lawatan Najib ke Pulau Pinang itu dikecam teruk dan beliau akhirnya mengemukakan permohonan maaf.

Kemudian dia cuba menjadi pakar ekonomi dan harga minyak pula di media sosial. Juga menerusi twitter, Fathia membandingkan harga minyak negara dari Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan Malaysia. Perkara ini dijawab oleh penganalisis politik/blogger Lim Sian See bahawa harga minyak negara yang disebutkan Fathia adalah pada 2014.

Eyka video lucah

Nama pelakon comel ini hangat diperkatakan apabila dia dikaitkan dengan video lucah yang tular awal Oktober lalu.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Juvana 1 dan 2 itu membuat laporan di Balai Polis Ampang dan di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Eyka berkata, walaupun wanita di dalam video itu bukan dirinya, apa yang berlaku sangat memalukan, sekali gus mencemar nama baik dan keluarga.

Shahir dan skandal

Pembabitan Shahir Zawawi, 29, dalam program realiti Akademi Fantasia Megastar pada mulanya berjalan lancar. Ramai menyambut positif usaha Shahir untuk memulakan kembali kerjaya nyanyiannya yang sebelum ini terumbang-ambing.

Bagaimanapun, menjelang kemuncak pertandingan itu, penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu mula dibelenggu kontroversi apabila gambarnya dengan pramugari yang dikenali sebagai Mona Syamimi tersebar meluas di Internet. Gara-gara berita mengejutkan itu, Shahir hampir menarik diri daripada pertandingan akhir program itu.

Shahir mendakwa, Mona hanya peminat dan menafikan mereka ada hubungan istimewa. Namun, jika sudah mula bercakap soal rindu-rinduan dan keluar berdua-duaan, adakah itu kekasih atau peminat? Hanya Shahir yang tahu jawapan sebenar.

Belum pun reda kisah Mona, satu lagi kontroversi tercetus apabila seorang lelaki bernama Azim Azizan mendakwa Shahir gagal menjelaskan hutang sewa kereta mewah berjumlah RM24,000. Sumber mendakwa, Shahir hanya menjelaskan RM2,000, itu pun selepas ceritanya berhutang didedahkan.

Emma, Kamal, Zahirah, Zul berlaga

Ketika pelakon Kamal Ali dan Zahirah Macwilson bergandingan dalam drama Duda Pujaan Dara pada awal Ogos lalu, pasangan ini tiba-tiba mencetuskan persoalan mengenai status hubungan rapat mereka.

Lebih menguatkan isu yang berlaku, Kamal memuat naik gambar bersama keterangan ‘miss mermaid, doakan yang baik-baik sahaja taw’ di laman Instagramnya mencetuskan spekulasi hubungannya dengan Emma sedang bermasalah.

Pada 12 Oktober, Emma menimbulkan teka-teki status hubungannya dengan Kamal apabila memetik nama Zahirah.

Lama menyepikan diri, Kamal akhirnya bersuara dan menyelar individu tertentu yang rapat dengan Emma supaya tidak menjadi batu api apabila Emma mengesahkan hubungannya dengan Kamal sudah terlerai. Emma mengaitkan Zahirah sebagai orang ketiga yang menjadi punca keretakan hubungan mereka.

Mempertahankan diri, Zahirah pada 25 Oktober memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Kamal untuk membuktikan mereka tiada hubungan mesra. Zahirah yang turut muncul menerusi Facebook Live BH menyifatkan, dirinya dijadikan kambing hitam dalam isu itu.

Sementara itu, pelakon popular Zul Ariffin menganggap isu ‘petik nama’ yang dicetuskan Kamal Adli dan Emma Maembong serta dibangkitkan kembali kekasihnya Zahirah sehingga turut mengaitkan namanya sebagai tindakan bodoh.

Bintang utama filem Tombiruo itu tidak mahu terbabit dan menegaskan sama ada mahu percaya atau tidak dengan penjelasan diberikan ketiga-tiga pelakon itu, biarlah ia menjadi rahsia peribadi.

Shukri Yahaya mesej ‘cikaro’

Kecoh satu Malaysia apabila aktor popular Shukri Yahaya dikatakan meminta peminatnya menghantar pesanan dan gambar lucah menerusi media sosial.

Semuanya timbul selepas seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai Sarah Danielle berkongsi satu mesej perbualan bersama seorang pelakon terkenal.

Mesej berbaur godaan itu kononnya perbualannya bersama Shukri dan turut menggambarkan dia kurang senang dengan mesej diberikan pelakon itu.

Dalam kenyataan awal mengenai isu itu, Shukri berkata, wanita terbabit cuba meraih populariti menerusi laman sosial miliknya dengan memuat naik perbualan yang dianggap pendedahan palsu. Tegas Shukri dengan kemajuan teknologi komunikasi, semua orang boleh menjadi dirinya dengan hanya meletakkan gambar profil wajahnya seterusnya menyamar dan berbalas mesej.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 4:11 AM