LUANG masa disurau khas.
Norhayati Nordin


Tidak semua lelaki suka menghabiskan masa lapang di luar, begitu juga dengan pelakon Johan Ariff As’ari.

Ini kerana bagi Johan, 31, jiwanya lebih tenang berada di rumah kerana sudah biasa melakukan aktiviti rutin.

Bertemu Johan di kediaman keluarganya di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini, memang dia boleh dilabel seorang ‘family man’.

Sikap sebagai abang yang bertanggungjawab dan rapat dengan adik-beradik dilihat sangat menyerlah.

Berkongsi aktiviti rutinnya di rumah, pelakon drama Jurnal Suraya ini berkata, dia selalunya akan mengaji al-Quran.

“Saya bukan nak tunjuk baik tetapi memang aktiviti harian saya adalah meluangkan masa mengaji al-Quran.

“Apatah lagi, memang ada bilik khusus di dalam rumah ini yang kami sekeluarga jadikan sebagai surau,” katanya.

Menurut Johan, setiap hari memang dia akan pastikan masanya diisi dengan aktiviti mengaji termasuk ibadat.

“Saya lebih tenang berada di rumah kerana ada masa boleh diluangkan untuk mengaji al-Quran. Terus terang, saya memang kena ada masa mengaji setiap hari kerana aktiviti ini sudah menjadi rutin.

“Maklum sajalah, saya pernah mendapat pendidikan belajar agama di sekolah pondok di Indonesia ketika remaja dulu.

ADA bakat bermain gitar.

“Oleh itu, aktiviti harian saya memang sudah biasa diisi dengan mengaji dan kalau tidak melakukannya ia tidak lengkap,” katanya.

Johan berkata, dia juga ada meluangkan masa dengan beberapa aktiviti lain yang menjadi hobinya.

“Saya membina karier dalam bidang seni dan semestinya selain berlakon sudah tentu minat juga pada muzik.

“Sebenarnya saya suka bermain gitar dan ada jugalah cuba-cuba menghasilkan melodi lagu termasuk lirik sendiri.

“Walaupun tidaklah serius tetapi seronok dapat melakukannya. Apatah lagi, ilham datang pun tidak diduga.

“Semuanya anugerah daripada Allah SWT dan saya hanya mencuba mempelbagaikan bakat diri sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai susun atur dan tatarias ruang tamunya, Johan berkata, ia dilakukan adik bongsunya, Siti Aisyah, 29.

RINGKAS tetapi kemas buat Johan selesa.

“Urusan mengemas rumah termasuk memasak, memang dilakukan adik, Siti Aisyah.

“Walaupun tidak disuruh, Siti Aisyah memang rajin dan dia banyak mewarisi sikap arwah ibu. Ditambah, saya suka makan di rumah. Apabila menikmati masakan dia akan mengingatkan saya kepada ibu.

“Sedikit sebanyak terubat juga rindu pada air tangan masakan ibu,” katanya mengakui sangat rapat dengan adik-beradik.

Selain Siti Aisyah, rumah teres dua tingkat itu turut dihuni Johan bersama adik lelakinya, Hazwan dan isteri, Adibah Yunus

Berlakon Drama 100 Episod

Enam tahun menceburi kerjaya seni, Johan mengakui memang berlaku pasang surut dalam karier lakonannya.

Namun, katanya dia bersyukur namanya tidak tenggelam dan masih lagi mendapat tawaran berlakon.

“Sempena kedatangan 2018 ini, kanvas karier lakonan saya akan bermula dengan membintangi drama 100 episod.

“Saya terharu dan tidak menyangka mendapat peluang berlakon dalam drama Suami-Suami Anissa terbitan Global Station Sdn Bhd.

“Ditambah, saya teruja kerana dapat bekerjasama dengan pelakon seperti Datuk Aaron Aziz dan Izara Aishah. Ini kali pertama kami berlakon sama dan diharapkan bertambahlah lagi pengalaman dan ilmu lakonan saya,” katanya.

KUCING kesayangan jadi peneman setia Johan.

Tidak kisah melakonkan watak utama atau pembantu, Johan berkata, apa yang paling penting baginya ialah plot cerita drama dibintangi.

“Selama aktif berlakon, saya belum pernah membintangi drama yang beratus episod dan ini pengalaman baru.

“Malah, menariknya lagi drama ini juga akan mendapat sentuhan pengarah berkaliber tanah air, Feroz Kader. Terus terang, kini saya tidak mengejar populariti kerana percaya semua itu adalah rezeki Allah,” katanya.

Johan berkata, apa yang diutamakannya ialah dapat mempersembahkan lakonan yang baik dan mantap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 6:33 AM