NABILA mahu capai impian dalam dunia nyanyian sebelum bercinta semula.


Melihat gambaran kisah dalam single pertamanya Pematah Hati yang mendapat sambutan luar biasa, begitu jugalah sebenarnya diri Nabila Razali, 26, ketika ini.

Mengakui pernah mempunyai pengalaman putus cinta, kata Nabila, buat masa ini hatinya belum dimiliki.

Memandangkan namanya kini boleh dikatakan berada di puncak, Nabila seboleh-bolehnya mahu memberikan tumpuan terhadap kerjaya seni yang diimpikannya selama ini.

“Buat masa ini, saya tidak ada teman lelaki istimewa. Lagipun, inilah masanya untuk capai apa yang saya inginkan dalam dunia nyanyian. Biarlah saya kejar cita-cita terlebih dahulu. Banyak lagi perkara lain yang perlu difikirkan sebelum sibuk nak bercinta,” kata penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2013 ini.

Menurut Nabila, jika ditemukan jodoh pada usia sekarang dia tidak menolak. Bahkan dia menganggap itu semua ketentuan Tuhan yang diterima dengan hati terbuka.

Jika dihitung pada usia, dia sedar mungkin wanita sebayanya ramai yang sudah mendirikan rumah tangga, namun itu tidak menjadi pengukur buat Nabila.

Diusik adakah dirinya cuba didekati bekas teman lelaki yang pernah meninggalkannya suatu masa dahulu, Nabila melepaskan tawa.

“Tidak ada. Mana ada sampai dia cari saya semula,” kata empunya nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali itu.

Pengajian tergendala

Barangkali ada yang tidak mengetahui Nabila sebenarnya sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana Seni Bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Bagaimanapun, kata Nabila, buat masa ini dia terpaksa melupakan seketika menghadiri kuliahnya.

“Saya sudah tidak boleh buat penangguhan lanjutan lagi kerana sudah cukup tempoh. Ada saja halangan yang membuatkan saya tidak dapat hadir ke kuliah. Jadi, selama ini saya sudah ambil penangguhan.

“Jika saya masuk semula ke kuliah pun, ada subjek yang perlu diulang semula apabila pernah buat tempoh penangguhan sebelum ini kerana ia memerlukan pembelajaran selama dua semester berturut-turut,” katanya yang memberitahu mempunyai baki tiga semester lagi.

Nabila menjelaskan bidang seni bina yang diikuti tidak seperti kursus lain kerana tiada pengajian separuh masa bagi pengajian dalam bidangnya itu.

“Saya perlu berikan komitmen sepenuhnya kepada pelajaran jika ingin habiskan pengajian peringkat sarjana. Agak susah untuk saya bahagikan masa antara nyanyian dan pelajaran serentak kerana seni bina perlu dilakukan secara sepenuh masa.

“Bagaimanapun, saya tidak berasa ralat sangat kerana sekurang-kurangnya sudah memiliki ijazah sarjana muda. Lagipun, saya boleh sambung belajar semula pada bila-bila masa. Kalau sudah tua sekali pun boleh sambung belajar,”katanya.

Dalam pada itu, Nabila bersyukur Pematah Hati dapat tontonan lebih 11 juta di YouTube dalam tempoh sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 10:26 AM