Skip this ad x
BARISAN pelakon Makrifat Cinta.
Syanty Octavia Amry


Mahu peminat filem Hindustan sama-sama ke panggung menyaksikan filem Makrifat Cinta, pengarah Kamal G yakin elemen Bollywood mampu menarik perhatian penonton.

Bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 1 Februari depan, antara yang menjayakan filem itu ialah Syamsul Yusof, Nora Danish, Nabila Huda, Puteri Balqis dan Datuk Aznil Nawawi.

Kamal berkata, ini filem Melayu pertama arahannya dan berharap kelainan watak lakonan Syamsul dapat mewarnai industri perfileman Malaysia.

“Saya sedia berdepan risiko. Saya sedar tidak ramai peminat genre filem seperti ini tetapi yakin dengan kru teknikal yang separuhnya kami bawa dari Mumbai, India dapat memukau mata mereka yang menonton.

“Ditambah elemen muzik ala filem Hindustan yang diterapkan tidak mustahil akan mengimbau pada filem popular Hindustan sedia ada,” katanya yang juga penulis skrip filem ini.


SYAMSUL bawa watak berbeza berbanding sebelum ini.

Berkongsi pemilihan pelakon, Kamal berkata, setiap skrip memang ditulis untuk pelakon yang dipilih.

“Saya pilih Syamsul kerana mahu menampilkan sisi lainnya daripada watak yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Kali ini saya mahu penonton lihat dia membawakan watak sebagai lelaki korporat yang sudah berumah tangga. Begitu juga dengan watak Nora dan Nabila memang saya hasilkan untuk mereka,” katanya.

Membabitkan kos RM4 juta, filem yang menggunakan lokasi sekitar ibu kota itu juga filem pertama terbitan Dhananwoodd Films Sdn Bhd yang diambil daripada kisah benar. Lensa Cooke S5 buat julung kalinya di Malaysia turut digunakan dalam pembikinan filem ini.

Selain itu, ‘Motion Poster’ yang pertama di Malaysia juga turut diperkenalkan buat filem ini. Pada masa sama, ini ialah filem pertama lakonan Syamsul mengenai percintaan.


NORA Danish bawa watak utama.

Sinopsis

Mahathir lelaki biasa dari luar bandar dan berasal daripada keluarga kurang berada. Namun, keinginannya untuk menjadi kaya bertaraf jutawan membezakan Mahathir dengan lelaki lain.

Manusia tidak boleh lari daripada masalah hidup tetapi bagaimana jika hidup menjadi masalah? Kehidupan Mahathir yang sentiasa dikongkong isterinya, Zara menjadi punca masalahnya. Ini adalah kerana Zara, wanita yang menyukai kekayaan dan memerlukan pembiayaan tinggi kerana gaya hidupnya.

Aisha, satu-satunya anak Mahathir adalah kekuatannya ketika berada dalam masalah dan kesusahan. Pendapatan Mahathir yang sedikit menyebabkan dia kurang mampu menanggung keluarganya, apatah lagi isterinya yang suka berbelanja besar. Keadaan menjadi sangat susah buatnya. Ketika waktu susahnya itu, Mahathir secara tidak sengaja berjumpa Sofea yang juga kawan sekolahnya.

Perjumpaan mereka membibitkan cinta. Zara mulai syak dengan Mahathir dan meninggalkan lelaki itu. Walaupun begitu, Zara berasa tidak puas hati dengan Mahathir dan meminta adiknya, Rizal membalas dendam.

Tanpa disedari, keadaan menjadi lebih parah. Pada waktu yang sama, anak Mahathir, Aisha mula menyukai dan mengasihi Sofea. Ketika Sofea menziarahinya, Aisha nampak sangat gembira. Selain daripada itu, galakan Sofea memberi kekuatan kepada Mahathir untuk menghabiskan rekaan aplikasinya.

Dengan penjualan aplikasi itu, Mahathir dijangka menjadi jutawan dengan serta-merta. Apa hebatnya aplikasi ini? Adakah begitu senang menjadi jutawan? Apakah halangan untuk menjadi kaya?

Adakah hubungan Mahathir dan Sofea hanya kawan semata-mata atau cinta? Apakah rencana balas dendam Zara? Selepas mengharungi semua dugaan, adakah Mahathir masih dapat mencapai cita-citanya itu?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 3:40 AM