RASHID bersama barisan pelakon.
Ridzuan Abdul Rahman

Peminat tentunya sudah menonton promo telefilem Datin Glam yang akan menemui penonton menerusi slot Cerekarama TV3 pada 13 Januari ini.

Paling mengujakan ialah ia menampilkan penyanyi pujaan ramai, Ziana Zain yang berlakon bersama beberapa nama besar lain antaranya Rita Rudaini, Norman Hakim dan Norlia Ghani.

Bukan bercakap besar, pengarah telefilem ini, Rashid Sibir mengakui Datin Glam wajar ditonton kerana menampilkan cerita yang mantap.

“Barisan pelakonnya juga terbaik dan memberikan komitmen yang padu. Paling istimewa, Ziana sendiri tampil dengan dua perwatakan berbeza iaitu sebagai gadis kampung dan bandar.

“Seperti biasa, dia tampil dengan lakonan yang bersahaja. Dalam watak lucu dan serius, ada gambaran suka duka dalam karakternya.

“Komitmen Ziana sangat bagus dan dia berjaya membentuk keserasian dengan semua pelakon. Saya amat puas hati bukan saja dengannya tapi semua pelakon,” katanya yang mengakui Ziana adalah tarikan utama telefilem itu.


ZIANA membawakan watak Nona dan Datin Ramona.

Rashid berkata, dia juga sudah lama tidak bekerjasama dengan Rita dan pelakon itu tampil dengan lakonan cemerlang.

“Karakternya sebagai wanita jahat tetapi lakonan yang diperlihatkan amat bersahaja. Perwatakannya nampak baik tapi sebenarnya dia ada niat jahat.

“Paling mengesankan, watak Rita sebagai Datin Nina bawa Datin Ramona ke restoran dan Datin Ramona makan menggunakan tangan.

“Suaminya, Datuk Kamal sanggup mengambil Chef Wan untuk mengajar isterinya etika di meja makan. Datin Ramona akhirnya mahir menggunakan sudu, garpu dan pisau yang sesuai untuk setiap jenis makanan dan ini membuatkan Datin Nina bertambah marah,” katanya.


RITA, Ziana dan Norman digandingkan dalam Datin Glam.

Bertambah menarik apabila Datin Nina tidak putus asa untuk mengenakan Datin Ramona dan mengajaknya ke karaoke.

“Datin Nina menyuruh Datin Ramona menyanyikan lagu Ziana Zain yang bernada tinggi dan Datin Ramona boleh menyanyikannya dengan baik.

“Dia kemudian merancang memerangkap Datin Ramona bersama ‘anak-anak ikan’ dan ambil gambar yang diserahkan kepada Datuk Kamal dan ini mencetuskan kemarahannya,” katanya.

Rashid juga adil dalam mengagihkan watak pada setiap pelakonnya apabila memberikan karakter sedih buat Amyza Adnan.

“Dia bukan lagi menjadi pelakon komedi dan sekarang jadi ratu air mata. Babaknya tidak banyak tapi impaknya sangat membantu cerita ini.

“Begitu juga gandingan Norlia dan Ziana yang amat serasi dan kita pasti akan ketawa dalam babak lucu yang ditonjolkan. Apabila babak sedih pula, kita akan sama-sama berasa sedih.

“Mungkin ramai yang tidak tahu ini juga gandingan semula Ziana dan Norman Hakim selepas filem Maria Mariana yang sudah mencecah 15 tahun. Inilah antara penarik Datin Glam,” katanya.


AMYZA melakonkan watak sedih sebagai Datin Ros yang menghidap barah payudara.

Sinopsis

Nona dan Mak Som bekerja di gerai dan mereka hidup bersama dengan bahagia. Suatu hari, Mak Som mengajak Nona melawat Ros, kawan baiknya tetapi Nona tidak mahu kerana menuduh Ros sudah melupakannya selepas berkahwin dengan Datuk dan bergelar Datin.

Bagaimanapun, sebenarnya Ros malu hendak berjumpa Nona kerana dia sudah kurus dan botak akibat barah payudara. Nona rasa bersalah kepada Ros dan mahu menjaganya. Permintaan Ros yang terakhir ialah mahukan Nona berkahwin dengan suaminya jika dia meninggal.



ANTARA babak dalam telefilem ini.

Maka Nona pun berkahwin dengan Datuk Kamal dan bergelar Datin. Datuk Kamal berjaya mengubah penampilan Nona dan menjadikannya sebagai Datin Ramona. Oleh itu, kehidupannya pun berubah daripada kehidupan kampung kini bergaul dengan golongan Datin.

Namun, rupanya Datin Nina yang sukakan Datuk Kamal sudah mengatur pelbagai perancangan untuk memporak-perandakan rumah tangga Datin Ramona dan suaminya. Pada masa sama, Datuk Kamal juga tak dapat menerima Ramona kerana masih tidak dapat melupakan arwah Ros. Ramona rasa sedih dan keluar dengan Datin Nina tanpa diketahui niat jahat rakannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 3:46 AM