Dari kiri, Sarimah bersama Fauzi dan Freddie menziarah Eow Jin pagi tadi. FOTO Supian Ahmad.
Syafil Syazwan Jefri


KEHADIRAN wakil dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) ke kediaman komposer, Datuk Ooi Eow Jin yang menghidap Alzheimer sedikit sebanyak membantu meringankan beban isteri, Datin Khaw Lean Kee, 78, yang menjaganya.

Kisah Lean Kee menjual kuih kapit bagi menampung kos perubatan Eow Jin dan anak mereka, Raymond yang menghidap tumor otak, menjadi tular di media sosial.

Lean Kee bersyukur kerana ramai yang menghubungi serta menghulurkan pelbagai bentuk bantuan.

Katanya, menerusi lawatan itu sedikit sebanyak dapat menenangkan hatinya di samping berkongsi perasaannya.

“Dengan kehadiran media, saya kongsikan perasaan dan apa yang saya hadapi setiap hari bersama suami.

“Sebelum ini ada beberapa kali saya dimaklumkan mengenai berita palsu mengatakan suami meninggal dunia. Saya sendiri tak tahu bagaimana cerita begitu boleh wujud.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menghubungi dan menyatakan hasrat untuk menghulurkan bantuan.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Finas dan Karyawan yang sudi hadir menziarah dan melihat keadaan suami,” katanya kepada Harian Metro.

Eow Jin, 80, ketika ditemui tidak berkata apa-apa. Kata isterinya, walaupun tahap kesihatan suaminya semakin merosot sejak tahun lalu dan hanya terbaring di katil, keadaannya tidak membimbangkan.

“Dia tidak ingat apa-apa langsung. Tapi tidak sukar menjaganya kerana dia tidak memilih makanan dan mudah untuk makan ubat setiap kali diberikan,” katanya.

Tidak hanya menjaga suami, Lean Kee juga menjaga anaknya, Raymond Ooi, 54, yang menghidap tumor di kepala.

Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob hadir bersama Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan juga seniwati Datuk Sarimah Ahmad.

Fauzi berkata, ini adalah program kerjasama antara Finas dengan persatuan bagi membantu anak seni yang memerlukan.

“Kami ada bahagian yang mengumpul data mengenai anak seni dan merekodkannya untuk memudahkan kerja-kerja sumbangan sekiranya perlukan bantuan.

“Setiap tahun Finas menyalurkan bantuan kepada anak seni yang memerlukan bantuan dan kepada keluarga Datuk Ooi, Finas salurkan sejumlah wang sebagai bantuan.

“Tahun lalu seramai 30 insan seni menerima sumbangan daripada Finas di samping peruntukan sebanyak RM50,000,” katanya.

Sementara itu, Freddie berkata, pihaknya menerima maklumat Eow Jin kini menerima tajaan daripada rumah jagaan untuk pesakit Alzheimer di Cheras.

“Daripada maklumat itu, saya dapat tahu beliau dan anaknya akan ditaja satu rumah jagaan dan secara tak langsung menjimatkan kos perubatan yang mencecah RM6,000 untuk kedua-dua mereka,” katanya.

Kata Freddie, ini program lawatan pertama untuk 2018 dan kini pihaknya sedang merangka lawatan untuk beberapa anak seni lain dalam masa terdekat seperti pelakon veteran, Mimi Loma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 6:19 PM