MATHEW mahu berkongsi asal usul dan sejarah sape ke seluruh dunia.
Georgie Joseph

Alat muzik sape dari Sarawak tidak dinafikan semakin mendapat perhatian ramai berikutan keindahan bunyinya yang tersendiri.

Keunikannya benar-benar mengagumkan ramai termasuk pelancong luar.

Diiktiraf sebagai Raja Sape dan mendapat gelaran Khazanah Hidup Kebangsaan Malaysia, Mathew Ngau Jau, 65, antara pejuang sape yang tidak pernah berhenti memartabatkan instrumen warisan kaum Kenyah dan Orang Ulu itu.

Terbaru, Mathew buat julung kalinya akan berkongsi ilmu mengenai sape itu menerusi kelas formal. Sebelum ini dia cuma mengajar secara santai.

Menurut Mathew, dia tidak mahu mengajar aspek teknikal semata-mata sebaliknya mahu pelajarnya mendalami keindahan serta signifikan permainan sape.

“Ini pertama kali saya bekerja menggunakan format kelas formal. Sebelum ini, saya mengajar secara rawak sekiranya saya rasa mahu, saya akan ajar tanpa silibus dan yuran tetap.

“Namun menerusi projek itu, saya mengajar selama sejam untuk satu sesi selama sebulan. Saya amat seronok jika dapat meluangkan masa berkualiti bersama ba­nyak pelajar daripada aspek kebudayaan, lagu tradisional, barulah kepada teknik.

“Bagaimanapun, saya amat berharap mereka turut belajar signifikan sape, mengenai lagunya serta asal-usul komuniti dari mana instrumen itu datang,” katanya.

Pada kelas berkenaan, Mathew akan berkongsi asal-usul dan sejarah sape memandangkan bukan semua pejuang instrumen berkenaan tahu maklumat itu. Sebagai anak Kenyah sendiri, dia berasakan pembelajaran itu sangat penting dan bukannya setakat pandai bermain.

Dimulakan sejak 6 Januari lalu anjuran The Tuyang Initiave dengan kerjasama TEGAS Digital Innovation Hub (TDIH), kelas itu bukan saja dilakukan secara berkumpulan namun turut menerima pelajar secara individu.

Dilangsungkan di ibu pejabat TDIH, iCom Suare Kuching, ia juga bertujuan meraih minat generasi muda daripada kaum Kenyah, Orang Ulu serta pelancong luar. Semestinya, dia terbuka mengajar di luar Kuching jika mendapat permintaan.

“Walaupun ia baru bermula, saya berharap ia menjadi titik tolak untuk mengadakan kelas di seluruh negara pula selepas ini. Saya sedia berkunjung ke mana sekali pun demi mengajar lebih ramai lagi,” katanya.

Sementara itu, pengasas bersama The Tuyang Initiative, Juvita Wan berkata, adalah satu penghormatan buat mereka dapat menampilkan Raja Sape itu.

“Kami sangat berbesar-hati dapat mewakili bakat seperti Mathew. Misi ini terlalu penting buat kami bagi memastikan budaya

dan tradisi kaum Kenyah serta Orang Ulu dapat dikongsikan ke seluruh dunia.

“Sebagai badan sosial, adalah menjadi kewajipan kami mengekalkan khazanah yang ada serta membantu secara tidak langsung bukan saja Mathew, namun pengamal seni tradisional lain,” katanya.

Bagi yang berminat mahu menyertai kelas berkenaan, boleh mendapatkan maklumat serta mendaftar di Facebook rasmi Mathew di fb.com/MathewNgauJauSape.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 3:30 AM