Ridzuan Abdul Rahman

Pementasan pertama Mak Yong Titis Sakti oleh Norzizi Zulkifli pada 2009 ternyata mendapat sambutan menggalakkan masyarakat pelbagai kaum.

Apatah lagi, idea kreatif Norzizi yang menggabungkan teater Mak Yong Titis Sakti dengan karya komedi romantis William Shakespeare, iaitu A Midsummer Night’s Dream berjaya mencipta kelainan.

Apa yang dilakukan ternyata mengubah landskap seni makyung sehinggakan naskhah Mak Yong Titis Sakti menjadi satu-satunya karya dari Malaysia yang tersenarai dalam himpunan arkib Shakespeare yang berpusat di Singapura iaitu di Asian Shakespeare Intercultural Archive (ASIA) selain mendapat perhatian di Universiti Nasional Singapura.

Malahan ia muncul sebagai antara silibus kuliah Intercultural Theatre di universiti itu dan banyak dibincangkan dalam penerbitan jurnal akademik Routledge Teater Asia.

Norzizi yang menamatkan pengajian ijazah kedoktoran di University of Wollongong, Australia pada 2012, kini bersedia mementaskan semula Mak Yong Titis Sakti buat kali kedua.

Persembahan yang akan berlangsung di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 27 Januari sehingga 4 Februari ini mengekalkan barisan pelakon asal pada 2009 iaitu Zamzuriah Zahari, Rosnan Rahman, Asrulfaizal Kamaruzaman, Rosdeen Suboh, Shahanaros Shahruddin, Elza Irdalynna dan Siti Farrah Abdullah.

Tidak ketinggalan beberapa muka baru turut ditampilkan antaranya Mardiana Alwi, Ezdianie Hayatie Omar, Safia Hanifah, Putri Hanan Shahidah dengan lima penari, 12 pemuzik dan penyanyi.

BARISAN pelakon Mak Yong Titis Sakti.

“Persembahan dulu tampil sepenuhnya menggunakan dialek Kelantan. Tapi kali ini saya cuba buat eksperimen dengan meletakkan dialog daripada naskhah Shakespeare. Dulu dialog ini diterjemahkan ke bahasa Malaysia.

“Saya nak modenkan teater makyung untuk tarik lebih peminat agar datang menonton. Pada 2009, saya cadangkan kepada Datuk Faridah Merican iaitu penerbit teater ini untuk buat dalam bahasa Inggeris sepenuhnya tapi dia kurang setuju kerana klpac sudah banyak mementaskan teater Inggeris,” katanya.

Norzizi berkata, dia mulanya takut apabila pementasan itu dibuat dalam bahasa Malaysia namun sambutan yang diterima cukup mengejutkan.

“Persembahan malam pertama sehingga kelima mendapat sambutan hebat dan ia sesuatu yang menakjubkan. Penonton bukan saja orang Melayu tapi juga kaum lain.

“Itu satu kepuasan buat saya dan kali ini cabarannya agak berbeza kerana lokasi besar boleh memuatkan 500 peminat berbanding dulu cuma 300 orang,” katanya.

Menurutnya, dia sukar menduga sambutan peminat tetapi mengharapkan sesuatu yang positif pada persembahan ini.

“Saya tak berani nak tokok tambah lebih-lebih kerana bimbang menjejaskan persembahan. Apa yang boleh dibuat ialah memperkemaskan apa yang perlu.

“Cabaran kali ini ialah saya tampilkan beberapa muka baru untuk beraksi. Selain itu, aspek pengucapan dialog juga mencabar. Saya menulis dalam bahasa Malaysia tapi ia mungkin tak sesuai dengan dialek Kelantan,” katanya.

Jelasnya, apabila beraksi, ia memerlukan kepakaran pelakon untuk menuturkan dialog dalam dialek Kelantan.

“Mungkin ada pelakon yang kena menulis semula dalam dialek Kelantan, tapi di tangan pihak produksi tiada pula dialog ini. Itulah yang susahnya.

“Saya pula sebagai penulis sering dapat idea baru ketika sesi latihan. Apabila tengok tak sesuai, akan potong pula. Inilah yang akan dilalui kerana proses ini takkan tamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 3:20 AM