GANDINGAN mantap Syamsul dan Putri Balqis.
Ramlah Zainal


Bukan saja berdasarkan kisah benar, filem Makrifat Cinta juga menampilkan elemen Bollywood untuk menarik penonton.

Filem arahan Kamal G ini diterajui barisan pelakon hebat seperti Syamsul Yusof, Nabila Huda, Nora Danish, Adi Putra, Puteri Balqis dan Datuk Aznil Nawawi.

Filem ini juga adalah filem Melayu pertama arahan Kamal yang turut menghasilkan skrip filem ini.

“Saya tertarik menghasilkan filem ini kerana ia berdasarkan kisah benar, sekali gus memberi pengajaran kepada masyarakat.

“Sebanyak 70 peratus jalan cerita ini mengenai kisah rakan saya yang berlaku terhadapnya dua tahun lalu.

“Selepas bertemu Syamsul, saya terpaksa merombak semula jalan cerita ini untuk menjadikannya lebih komersial dan menarik,” katanya.

Selain itu, Kamal juga berdepan cabaran besar untuk merealisasikan filem berkenaan terutama dari segi cuaca dan pos produksi.

“Bajet filem ini mencecah RM4 juta kerana 50 peratus daripada kru produksinya dibawa dari Mumbai, India. Ia juga menggunakan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI).

“Pada masa sama, saya perlu mengarahkan barisan pelakon yang rata-ratanya gred A dalam filem ini,” katanya.


SYAMSUL dan Aznil.

Ditanya mengenai pemilihan pelakon, Kamal berkata, ia diputuskan hasil perbincangannya dengan Syamsul.

“Saya pilih Syamsul kerana mahu menampilkan sisinya yang berbeza sebagai lelaki korporat yang sudah berumah tangga.

“Saya puas hati dengan lakonan mantap Syamsul, Nabila, Adi dan Puteri Balqis,” katanya.

Ditanya harapannya pada filem itu, Kamal yakin ia mendapat kutipan pecah panggung nanti.

“Selain bakal ditayangkan di lebih 100 pawagam tempatan, pihak kami juga merancang untuk menayangkannya di Indonesia dan Dubai,” katanya.

Syamsul cabar diri bawa watak berbeza

Selaku pelakon utama, Syamsul turut berpuas hati dengan filem sentuhan pertama pengarah bukan Melayu itu.

“Ia menampilkan kematangan dari sudut skrip dan pengarahan.

“Idea asalnya daripada Kamal dan saya cuma memintanya kembangkan watak untuk menjadikan cerita ini lebih emosi dan menarik,” katanya.

Syamsul mengakui, dia berdepan cabaran menjiwai watak Mahathir yang hidupnya berdepan dengan masalah yang bertimpa-timpa itu.

“Sebelum ini, saya sering melakonkan watak gangster dan ustaz, tetapi kali ini saya cabar diri melakonkan watak berbeza pula.

“Saya terima tawaran filem ini kerana tertarik dengan jalan ceritanya yang memaparkan kisah mencari cinta sejati dalam hidup,” katanya.


SYAMSUL dan Kamal ketika di lokasi.

Ketika penggambaran, Syamsul turut mengalami kecederaan di bahu ketika menjayakan babak kereta yang dinaikinya bersama Sofea (lakonan Nora Danish) meletup dalam filem ini.

“Ia tidak mematahkan semangat saya untuk beri yang terbaik terhadap filem ini. Saya kembali meneruskan penggambaran di lokasi filem ini selepas berehat selama dua hari.

“Sebagai pelakon utama, saya juga yakin filem ini diterima penonton nanti,” katanya.

Makrifat Cinta terbitan Dhananwoodd Films Sdn Bhd ditayangkan mulai 1 Februari ini.

Ia mengisahkan Mahathir, seorang lelaki biasa berasal dari luar bandar dan daripada keluarga kurang berada.

Namun, keinginannya menjadi kaya bertaraf jutawan membezakan Mahathir dengan lelaki lain.

Kehidupan Mahathir yang sentiasa dikongkong isterinya, Zara menjadi punca masalahnya. Ini kerana Zara seorang wanita yang menyukai kekayaan dan memerlukan pembiayaan tinggi kerana gaya hidupnya yang serba mewah itu.


ADI Putra.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 3:21 AM