Rudy Imran Shamsudin

Disebabkan minat dengan naskhah yang mengangkat seni silat gayong pusaka, pelakon dan pelawak Taiyuddin Bakar atau Tai kembali ke set penggambaran filem Geran yang sudah pun menjalani penggambaran.

Filem yang diarahkan rakannya, Aril Abu Bakar itu turut membariskan bintang berpengalaman seperti Namron, Aeril Zafril, Adam Shah dan Nizam Zaidi.

Geran filem terbaru lakonan Tai selepas hampir setahun tidak terbabit dengan sebarang penggambaran. Terakhir dia menjayakan telefilem Last Kopek Hevoc yang dihasilkan Along Ezendy pada 2016 manakala filem pula Tuli (2014).

Berkongsi pembabitannya dalam filem Geran, Tai berkata, pada mulanya ramai menasihatinya supaya tidak menerima tawaran itu.

“Kata mereka usaha untuk menghasilkan filem ini kurang meyakinkan. Bagaimanapun apabila baca skrip, saya suka dengan karya ini.

“Apatah lagi ia mengangkat seni silat Gayong Pusaka dan saya pun pernah belajar silat gayong,” katanya.

Menurut Tai atau nama sebenarnya Sallehuddin Abu Bakar, 35, sepanjang menjayakan filem itu dia diberikan kebebasan berkongsi buah fikiran dalam berkarya.

“Saya sudah lama kenal Aril. Ketika itu dia jurukamera dan Geran adalah karya sulung arahannya. Ketika tawarkan kerja ini, dia beritahu semua pelakon berlakon secara percuma dan keuntungan hanya diberikan selepas filem ini ditayangkan.

“Saya senang dengan situasi itu. Sebelum ini kalau dibayar, kita harus beraksi mengikut kehendak pengarah dan penerbit yang keluarkan duit.

“Walaupun berasakan kehendak mereka tidak kena, kita tidak boleh buat apa-apa kerana sudah dibayar untuk mendengar arahan,” katanya.

Jelasnya di set penggambaran filem Geran, tiada siapa yang berkuasa dan semua orang adalah sama. Mereka bekerja keras dan sama-sama menyumbang bagi memastikan karya yang dihasilkan itu menepati kehendak penggiat terbabit dan penonton apabila ditayangkan nanti.

Paling utama, kata Tai, dia hormat usaha murni yang cuba dilakukan Aril dan barisan pelakon lain yang mahu mengangkat seni silat tatkala ia semakin dilupakan anak muda.

“Sepanjang penggambaran kita dapat bekerjasama dengan persatuan seni silat. Antara tujuan Geran dihasilkan adalah untuk mengangkat ikon seni silat berkenaan di Kedah,” katanya.

Ketika ‘berehat’ daripada karier seni, Tai berkata dia berniaga secara kecil-kecilan. Selain menjual kopiah kait jenama @by.taiyuddinbakar, dia berniaga lempeng.

“Saya dapat idea menjual lempeng apabila susah nak mendapatkannya di Kuala Lumpur.

“Kebetulan kawan saya buka kedai makan jadi saya tumpang untuk berniaga lempeng di situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 4:25 AM