Nabila akui perlu ada disiplin dan menepati masa. FOTO MAHZIR MAT ISA


PENYANYI Nabila Razali memohon maaf berikutan dakwaan lewat menghadiri sebuah acara hiburan di Kota Damansara, baru-baru ini.

Nabila ketika dihubungi berkata, dia tidak berniat untuk lewat atau sengaja mensabotaj acara berkenaan dan apa yang berlaku membabitkan banyak pihak.

“Pada hari kejadian saya menjalani satu penggambaran program di Bangi dan ia habis agak lewat menyebabkan saya bergegas ke tempat sidang media di Damansara.

“Bagaimanapun, saya akui bersalah dan sudah meminta maaf kepada penganjur dan tetamu yang hadir atau sesiapa sahaja yang terasa hati,” katanya.

Menurut Nabila, sebagai pendatang baru dia mengaku perlu mempunyai sikap berdisiplin dan menepati masa.

“Ini adalah kali pertama saya terlewat disebabkan hal tertentu yang memang tidak dapat untuk dielakan.

“Saya memang seorang yang tidak suka orang menunggu saya. Tambahan pula, pengurus saya selalu berpesan agar menepati masa sekiranya mahu bertahan lama dalam industri,” katanya.

Terdahulu timbul gosip mengatakan penyanyi terkenal lagu Pematah Hati itu tiba ketika majlis hampir selesai di Damansara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 4:39 PM