ANGGAP filem arahan Kamal G ada aura tersendiri.
Ridzuan Abdul Rahman


Sebagai pemain industri yang masih aktif menerbitkan filem, Datuk Yusof Haslam memuji usaha pengarah Kamal G menghasilkan filem Makrifat Cinta.

Filem Melayu pertama arahan Kamal G terbitan Dhananwoodd Films Sdn Bhd itu menampilkan pelakon terkenal iaitu Syamsul Yusof, Sabrina Ali, Nora Danish, Nabila Huda, Puteri Balqis dan Datuk Aznil Nawawi.

Makrifat Cinta yang bertemakan cinta dan kekeluargaan akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula Khamis ini.

Yusof, 63, berkata, industri perfileman memerlukan banyak pemain dan apa yang dilakukan oleh Dhananwoodd Films Sdn Bhd wajar dipuji.

“Tak kiralah orang Melayu, India mahupun Cina. Kalau tengok dulu pun, filem Melayu diterbitkan oleh orang bukan Melayu.

“Dulu pun di Singapura, filem Melayu diterbitkan oleh bukan Melayu. Asalkan karya yang dibuat itu sebuah karya yang baik untuk membangunkan industri filem tempatan, ia wajar disokong,” katanya.

Pada masa sama, perlu berlaku adil kepada semua pihak kerana industri filem bukan milik sesuatu bangsa.

“Sesiapa saja boleh masuk, maksudnya penerbit Melayu pun boleh hasilkan filem Tamil atau Cina. Saya dulu pun pernah terbabit dalam pembikinan drama Cina.

“Bagi saya tiada masalah untuk kita bekerjasama. Cuma saya berasa agak kecewa kerana penerbit filem Melayu sekarang semakin berkurangan. Kita dapat saksikan pemain industri daripada kaum Cina dan India pula yang aktif buat filem Melayu,” katanya.

Yusof yang juga ahli jawatankuasa Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengakui Makrifat Cinta sebuah filem yang baik dan mampu mencuit perasaannya.

“Mulanya cerita ini agak panjang tapi kami minta dipotong untuk padatkan. Kemudian saya menonton bersama isteri (Datin Fatimah). Dia seorang pengkritik filem yang selalu komen projek drama dan filem saya.

“Fatimah terkejut kerana Kamal G berjaya menghasilkan filem yang baik. Pembuatannya cantik dari aspek sinematografi dan jalan cerita,” katanya.

Sebagai pembuat filem, dia secara peribadi melihat Makrifat Cinta berjaya memenuhi cita rasa mereka berdua serta rakan-rakan yang sudah menontonnya.

“Saya puji bukan kerana Syamsul berlakon. Kalau dia buat tak bagus saya tetap kata tak bagus. Filem ini ada aura sendiri dan cara penyampaiannya cantik.

“Kebanyakan filem Melayu ada masalah penyampaian tapi Makrifat Cinta agak berbeza. Ia tak buang masa penonton. Lakonan semua pelakon pun bagus,” katanya.

Dalam pada itu, dia menjelaskan Syamsul bukanlah berlakon filem cinta remaja seperti difikirkan segelintir pihak.

“Ia sebuah filem kekeluargaan dan ada konfliknya. Syamsul biasanya berlakon filem gengster tapi lakonannya dalam cerita ini tak mengecewakan.

“Ada beberapa babak lakonannya sangat baik dan saya amat sukakannya. Ada juga beberapa babak yang buat isteri saya menangis,” katanya.

Yusof bagaimanapun mengakui sukar meramalkan sambutan penonton terhadap filem ini.

“Ia bukanlah kerja saya. Bahkan untuk filem saya sendiri pun saya tak pernah meletakkan berapa kutipan yang akan diperoleh.

“Cuma diharapkan, Makrifat Cinta akan dapat sambutan yang baik daripada penonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:50 PM