Elvina (kiri) hanya bercakap jika ada hal penting di lokasi. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/NURUL SHAFINA JEMENON
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON, Elvina Mohamad menganggap gosip mengatakan dirinya mesra dengan pelakon Redza Rosli adalah bertujuan melaga-lagakannya dengan artis popular, Ayda Jebat.

Katanya, perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana umum tahu dengan siapa Redza berkawan rapat sekarang ini.

"Sepanjang menjalani penggambaran drama Isteri Yang Diiktiraf, Ayda beberapa kali datang menjenguk dan menemani Redza di lokasi.

"Kalau hendak diikutkan, saya tidak banyak bercakap dengan Redza sepanjang penggambaran kecuali penting dan berkaitan hal kerja," katanya dihubungi, hari ini.

Jelas Elvina, ada pihak salah faham apabila penerbit drama terbabit, Sheila Rusly merakam dan memuat naik gurauan mereka di lokasi hingga berlaku adegan berkejaran sesama mereka.

"Biar saya jelaskan. Rakaman asalnya saya mengusik Arash Mohamad. Di lokasi saya memang rapat dengan Arash dan menganggapnya abang.

"Bukan saya sorang saja yang menganggapnya seperti abang malah semua pelakon begitu memandangkan sikap Arash yang sangat menyenangkan," katanya.

Hari terakhir Elvina di lokasi terbabit, dia mengusik Arash dengan tidak bersungguh sungguh memberikan dialog.

Redza kebetulan terbabit babak itu turut melakukan perkara sama.

"Menyedari kami tidak serius membuatkan Sheila tidak berpuas hati dan mahu merotan kami berdua. Kami cuba lari. Tidak sangka adegan dirakam dan dimuat naik ke laman sosial," katanya.

Elvina dan Redza memegang watak utama suami isteri drama Isteri Yang Diiktiraf akan ditayangkan di saluran RTM pada Ramadan nanti.

Tegas Elvina, sepanjang tiga bulan menjalani penggambaran drama 30 episod itu, dia dan Redza bersikap profesional dan tidak pernah mencampur-aduk soal kerja dan peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 1:48 PM