Najiy Jefri


PELAKON Redza Rosli dihujani panggilan telefon dan mesej peribadi di laman sosial gara-gara dituduh mencuri seluar dalam di pusat beli belah di Johor Bahru.

Redza ketika dihubungi menegaskan, cerita yang tersebar di Internet dan laman blog itu tidak benar sama sekali.

"Ramai menyangka saya ditahan kerana mencuri seluar dalam, malah panggilan telefon dan pesanan ringkas terus diterima hingga ke hari ini bertanyakan perkara ini.

"Begitupun saya mengambil pendekatan untuk tidak terlalu mengambil serius. Lagipun takkan saya nak curi seluar dalam, lebih baik saya curi hati orang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Redza, dia sebenarnya bukan ditahan kerana mencuri sebaliknya jurujual butik terbabit terlupa untuk mencabut alat pengesan pada pakaian dibeli.

"Video berkenaan sudah lama di muat naik oleh pengarah Jinggo, namun disensasikan semula oleh blog berkenaan.

"Menerusi video ini, Jinggo sengaja mengusik mengatakan saya mencuri seluar dalam apabila ditahan staf butik berkenaan," katanya.

Redza turut berpesan kepada blogger khususnya supaya tidak mensensasikan cerita tidak benar dengan tajuk yang boleh mengundang fitnah.

“Tolonglah, blogger ini kadangkala suka mensensasikan tajuk yang tidak benar. Lain kali tulis artikel yang bertauliah bukannya dengan tajuk yang begini,” katanya.

Terdahulu Jinggo memuat naik video bergurau dengan mengatakan Redza ditahan beberapa staf butik kerana mencuri seluar dalam.

Bagaimanapun video itu dikongsi beberapa pihak dengan meletakkan tajuk yang seolah-olah Redza ditahan dan dituduh mencuri seluar dalam di sebuah pusat beli belah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 5:03 PM
REDZA Rosli. FOTO Zunnur Al Shafiq
REDZA Rosli. FOTO Zunnur Al Shafiq