FAUZI gemar watak antagonis sejak dulu.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Filem komedi fantasi arahan sulungnya, Pak Pong tidak mendapat sambutan apabila ditayangkan di pawagam tahun lalu.

Selaku pengarah, Fauzi Nawawi, 45, mengakui kecewa apabila kutipan yang diperoleh tidak seperti diharapkan.

“Selepas difikirkan semula, ia berlaku kerana kelemahan dan kesilapan saya sendiri.

“Aspek promosi dan perancangan awal filem ini tidak disusun dengan betul,” katanya.

Bagaimanapun, Fauzi menegaskan dia tidak serik untuk menghasilkan filem lagi selepas ini.

“Ada peracangan untuk hasilkan filem lagi. Setakat ini belum ada naskhah menarik.

“Insya-Allah, saya akan ketengahkan idea dan skrip sendiri,” katanya.

Ditanya sama ada dia memperlahankan karier lakonan untuk fokus de­ngan kerja belakang tabir, Fauzi menafikan perkara itu.

“Tiada istilah memperlahankan rentak, tetapi tawaran berlakon semakin kurang tahun lalu.

“Pendapatan sebagai pelakon tidak mampu untuk tampung keluarga. Paling teruk, tahun lalu saya hanya dapat empat tawaran berlakon.

“Saya terpaksa cari sumber pendapatan lain dengan membantu rakan berniaga,” katanya.

Bagaimanapun, Fauzi bersyukur kerana masih ada pihak mempercayai bakat lakonannya.

“Alhamdulillah, tahun ini saya dapat beberapa projek lakonan.

“Saya menjayakan drama Teratai Kemboja untuk slot Zehra dTV3 dan Gerak Khas terbitan Skop Productions.

“Manakala, filem lakonan saya, Munafik 2 akan ditayangkan tahun ini,” katanya.

Pertaruh filem Badang

Selepas Chowrasta, Fauzi bekerjasama lagi dengan Profesor Madya Datuk A Razak Mohaideen menerusi filem Badang.

Dalam filem itu, Fauzi bergandingan dengan Datuk Aliff Syukri dan Fasha Sandha.

“Saya tertarik membintangi Badang kerana ia mitos yang menjadi mainan mulut masyarakat Melayu selain karakternya yang kuat,” katanya.

Mengenai cabaran pula kata Fauzi, dia menyukai karakter antagonis sejak dulu.

“Saya bawa watak Abang Tai, tetapi perlu bataskan babak ganas kerana filem ini sesuai ditonton kanak-kanak dan seisi keluarga.

“Gusi saya berdarah dan berasa hendak pitam ketika menjayakan babak pergaduhan dengan Badang.

“Selain itu, saya perlu basahkan badan untuk babak pertarungan selama dua hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 2:13 AM