X
Ippo bersama Cinta Rizky Amanda. FOTO IPPO HAFIZ
Ippo bersama Cinta Rizky Amanda. FOTO IPPO HAFIZ
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Ippo Hafiz, mengesahkan mengambil anak angkat perempuan sejak lebih setahun lalu dan kini sudah mencecah usia satu tahun lima bulan.

Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 30 memberitahu bahawa status anak angkatnya, Cinta Rizky Amanda didaftarkan atas nama ibu bapanya mengikut prosedur memandangkan dia bujang dan anak angkatnya itu bayi perempuan.

“Saya tahu, akan ada beberapa prosedur memandangkan saya lelaki bujang dan Cinta bayi perempuan.

“Jadi, Cinta didaftarkan atas nama ibu bapa saya tetapi saya yang menjaganya bersama-sama mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Ippo berkata dia ragu-ragu dengan keputusan mengambil anak angkat itu pada mulanya.

“Memang ada perasaan ragu-ragu, tetapi bila difikirkan semula, Allah gerakkan hati saya untuk membantu. Jadi, saya ditakdirkan bertemu dengan ibu bapa kandung Cinta ketika dia masih dalam kandungan.

“Lagi pula, mereka kurang berkemampuan. Jadi, saya rasa, apa salahnya jika niat saya untuk membantu membesarkan Cinta,” katanya.

Ditanya mengenai hukum bukan muhrim antara dia dan anaknya, Ippo berkata, dia akan berbincang dengan kakaknya untuk menyusukan bayi yang mencapai usia seperti sekarang.

“Kalau saya ada isteri, saya akan minta isteri saya susukan bayi itu dan menjadi darah daging. Tapi, memandangkan saya belum ada isteri, saya akan berbincang dengan kakak saya untuk menyusukan anak saya.

“Niat saya, saya ingin besarkannya dengan baik dan kalau dia dah dewasa kelak, dia ingin mencari atau kembali kepada keluarga kandungnya, saya tak akan halang,” katanya.

Tambah penyanyi Kekal Bahagia itu, dia ada merujuk kepada mereka yang mempunyai pengetahuan bidang agama untuk memastikan niatnya mengikut cara yang betul.

“Saya ada berjumpa dan merujuk beberapa ilmiah dan ustaz. Kata mereka, kalau niat saya itu ikhlas, Insya-Allah, Allah akan permudahkan semuanya,” katanya.

Ippo juga meluahkan rasa syukurnya dan berterima kasih kepada semua anggota keluarga yang menyayangi anaknya seperti keluarga kandung.

“Semua anggota keluarga saya menyayangi Cinta seperti anak saya sendiri. Terima kasih juga kepada ibu dan bapa saya yang membantu menjaga Cinta kerana saya sendiri pun belum ada pengalaman menjaga bayi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 6:18 PM
Digital NSTP Subscribe